KOTA KINABALU, 22 Sept (Bernama) -- Sebanyak 31 pengamal media daripada agensi kerajaan dan organisasi berita swasta menjalani latihan intensif, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Kursus empat hari anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) itu bertujuan meningkatkan kemahiran pelaporan, memperkukuh standard etika dan memastikan liputan seimbang sepanjang proses pilihan raya.
Menurut MPI dalam kenyataan hari ini, kursus Reporting and Analysis of State Election and Infographic itu juga untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada peserta tentang proses pilihan raya di samping memperteguh etika kewartawanan.
Selain itu, kursus berkenaan yang diadakan di sini dari 22 hingga 25 Sept ini, menekankan kepentingan pelaporan yang objektif, adil dan bebas daripada sebarang pengaruh, khususnya ketika tempoh pilihan raya.
Pada masa sama, tujuan kursus itu juga untuk menonjolkan strategi bagi mengenal pasti dan menangani penyebaran maklumat palsu serta manipulasi persepsi awam, yang merupakan risiko biasa semasa pilihan raya.
Menurut MPI, kursus berkenaan akan memberikan pendedahan kepada pengamal media mengenai penggunaan infografik, kuasa penceritaan secara visual, teknik komunikasi, serta aplikasi infografik statistik untuk menjadikan pelaporan lebih menarik dan berkesan.
Program itu juga memperkenalkan alat dan aplikasi praktikal untuk penyuntingan dan penyiaran kandungan berita dengan lebih cekap.
Di samping itu, program berkenaan bertujuan mengukuhkan hubungan komunikasi antara media dengan agensi berkaitan, memastikan penyebaran maklumat yang lebih tepat dan pantas sepanjang pilihan raya.
Antara organisasi yang menyertai kursus itu ialah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan (JAPEN), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), The Star, New Straits Times, Malay Mail, Berita Harian, Sinar Harian, Daily Express, Sabah Media, Persatuan Wartawan Keningau, Borneo Daily Bulletin, dan Jendela Madani.
Penceramah termasuk Ketua Program Pengurusan Latihan, Akademi Pilihan Raya (APR), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Nik Aminudin Nik Shahar Shah, perunding media dan komunikasi Dr G. Manimaran serta pensyarah kanan reka bentuk grafik dan media digital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Dr Zul Imran Ahmad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial