PUTRAJAYA, 27 Sept (Bernama) -- Jambatan Monorel Putrajaya yang terbengkalai sejak lebih 20 tahun lepas akan diberikan fungsi baharu atau re-purpose iaitu kepada jambatan pejalan kaki dan laluan basikal pada Januari tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata ia adalah satu bentuk penggunaan semula secara adaptif yang dilaksanakan untuk memberi nilai baharu kepada struktur sedia ada itu.
"Sejak saya dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan, antara perkara yang sering saya dapat cadangan daripada rakyat adalah berkenaan re-purpose jambatan monorel ini.
"Alhamdulillah, selepas 20 tahun dan di bawah Kerajaan MADANI, isu ini selesai. Selepas ini jambatan tersebut akan menjadi tumpuan pelancong sambil menikmati panorama tasik Putrajaya," katanya dalam ucapan sempena Karnival Putrajaya 2025 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.
Menyentuh mengenai Astaka Morocco di Taman Botani, Presint 1 di sini, Dr Zaliha berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan PPj untuk tampil dengan buah fikiran baharu bagi menambah fungsi astaka tersebut tanpa menjejaskan struktur sedia ada.
"Ini adalah sebahagian dari pelaksanaan konsep Baukultur hasil daripada lawatan saya ke Itali baru-baru ini. Semua ini kita sedang usahakan untuk menarik lebih ramai lagi pengunjung ke Putrajaya yang secara tidak langsung akan memberi kesan dan impak kepada ekonomi setempat," katanya.
Sementara itu, Fadlun ketika ditemui pemberita berkata kerajaan telah memperuntukkan RM15 juta bagi kerja penambahbaikan jambatan itu yang sekian lama tidak digunakan, bagi laluan rekreasi pejalan kaki dan penunggang basikal.
Beliau berkata kerja menaik taraf struktur jambatan giat dilakukan dan telah mencapai 50 peratus kemajuan setakat ini.
"Kerja sedang berjalan sekarang ini dan dijangka siap Disember ini. Hanya tinggal kerja penyambungan jambatan dan ramp serta kerja estetik.
"Pada waktu malam reka bentuknya macam Jambatan Saloma Link tapi dengan karakter kita (identiti Putrajaya) untuk menyambung jambatan tersebut, dengan ambil kira ciri keselamatan jika pada masa depam perkhidmatan monorel akan dibangunkan," kata Fadlun.
Beliau berkata jambatan berukuran 200 meter panjang itu juga tidak akan dibuka kepada kenderaan selain basikal, mengambil kira had bebanan asal yang direka untuk sistem monorel.
Karnival Putrajaya 2025 yang sebelum ini dikenali sebagai Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya dijenamakan dengan pengisian lebih segar merangkumi dimensi komuniti, sukan, kebudayaan, gaya hidup dan kelestarian bandar seiring aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai bandar komuniti yang progresif dan berdaya huni.
Bertempat di Kompleks Futsal Presint 18 di sini, karnival dua hari bermula hari ini antara lain merangka lebih 60 aktiviti termasuk kenduri rakyat, persembahan tarian, aktiviti rekreasi dan riadah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial