AM

Arwah Pendiam, Penyayang Dan Disenangi Ramai - Balu Kru Penggambaran

28/09/2025 12:53 AM

KUCHING, 27 Sept (Bernama) -- “Siapapun yang mengenali Ahmad Afiq akan sifatkan dia seorang yang baik, pendiam tetapi sangat disenangi oleh rakan-rakannya.”

Demikian kata-kata Nalisa M. Halim, 42, balu kepada kru penggambaran Ahmad Afiq Mohd Salleh, 42, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Betong semalam.

Jenazah Ahmad Afiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, pada 11.40 malam tadi yang turut dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat. Allahyarham meninggalkan empat anak berusia empat hingga 14 tahun.

Mengimbas kembali detik menerima berita sedih itu, Nalisa berkata beliau berada di tempat kerja di Kuala Lumpur ketika dihubungi pihak produksi yang memaklumkan suaminya terlibat dalam kemalangan.

"Saya terima panggilan pukul 1.30 tengah hari yang memaklumkan arwah kemalangan dan meninggal di tempat kejadian.

"Pada mulanya saya tidak dapat terima…saya cuba mencari jawapan kerana ada yang mengatakan sebahagian kru kritikal dan ada yang sedang dirawat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian tersebut. 

Nalisa berkata anak-anaknya mewarisi minat seni seperti arwah namun Allahyarham lebih gemar mereka tidak mengikuti jejaknya dalam bidang perfileman kerana memahami selok-belok industri tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas kerjasama serta mempermudah urusan proses pengebumian sebaik sahaja tragedi itu berlaku.

"Meskipun kami sekeluarga dari datang Kuala Lumpur dan berasal dari Gombak, kami berdoa agar terus diberikan rezeki supaya dapat menziarahi kubur arwah di sini sekurang-kurangnya sekali setahun," katanya. 

 Terdahulu, media melaporkan FINAS membantu keluarga dua kru penggambaran terbabit bagi urusan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Hospital Sri Aman.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh PROFIMA yang turut bekerjasama rapat dalam memudahkan urusan keluarga mangsa.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook turut menzahirkan ucapan takziah dan melahirkan rasa dukacita atas pemergian Ahmad Afiq serta seorang lagi kru penggambaran, mendiang Jaya Ganesh Janarthana, 48, yang turut terkorban dalam tragedi itu.

Difahamkan, jasad Jaya Ganesh akan diterbangkan ke Kuala Lumpur esok untuk urusan pengebumian.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyam mengesahkan kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Klinik Skrang, Betong, berlaku kira-kira 12.07 tengah hari, meragut dua nyawa termasuk Ahmad Afiq serta mencederakan 11 yang lain selepas van dinaiki mangsa dilanggar kenderaan pacuan empat roda.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan