JOHOR BAHRU, 27 Sept -- Kementerian Kerja Raya (KKR) meningkatkan persiapan menghadapi musim banjir terutama pada musim tengkujuh yang dijangka tiba penghujung tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kementeriannya akan mengaktifkan bilik operasi bencana pusat yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Bencana (Big Ben).
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata sistem tersebut berasaskan kod amaran hijau, kuning dan merah membolehkan kementerian menyelaras tindakan segera semasa banjir dan tanah runtuh, sekali gus memastikan pengguna jalan raya mendapat maklumat keselamatan tepat pada masanya menerusi laman web dan media sosial JKR.
“Pusat berkenaan yang berpusat di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuala Lumpur akan beroperasi apabila tiba musim tengkujuh dan ia akan beroperasi selama 24 jam apabila telah masuk kategori merah.
“Pegawai akan ditempatkan di situ dengan sistem pemetaan masa nyata serta peralatan komunikasi untuk memberikan maklumat terkini berhubung penutupan jalan, lencongan dan kerja pembaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan Projek Ideation Experience (PIE) 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai, di sini, hari ini.
Berhubung banjir di Sabah, Ahmad meminta JKR negeri itu untuk memperhalusi semula anggaran kerosakan melibatkan jalan serta cerun berikutan kejadian banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
Beliau berkata angka awal yang diterimanya daripada JKR menunjukkan jumlah kerosakan agak besar, namun perlu diteliti semula bagi memastikan ketepatan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Semalam saya telah dimaklumkan oleh pegawai mengenai angka awal kerosakan melibatkan cerun dan jalan namun saya minta ia diperhalusi benar-benar supaya tidaklah setinggi seperti dilaporkan...mungkin perlu dibuat pemeriksaan pusingan kedua.
“Saya sendiri akan turun padang sekali lagi minggu depan ke Sabah untuk meninjau beberapa lokasi yang terjejas,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kerosakan akibat banjir di Sabah baru-baru ini.
Selain itu, Ahmad berkata KKR akan memohon peruntukan lebih tinggi dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan infrastruktur jalan di seluruh negara sentiasa terpelihara.
"KKR memohon RM10.6 bilion. Tahun ini menerima RM9.3 bilion, tertinggi berbanding kementerian lain. Daripada jumlah itu, sebahagiannya akan diagihkan untuk pembaikan jalan dan cerun di Sabah. Kita harap peruntukan ini ditambah kerana kerosakan yang berlaku agak besar dan melibatkan jalan Persekutuan.
“Sama ada mendapat peruntukan tambahan atau tidak dalam Belanjawan 2026, kerja-kerja pembaikan tetap akan dijalankan dengan menggunakan dana sedia ada bagi memastikan jalan dan cerun kritikal dibaiki segera.
“Rakyat Sabah tidak perlu risau. Kalau tiada peruntukan tambahan, kita akan cari daripada bajet semasa KKR untuk pastikan jalan dan cerun yang terjejas dapat dibaiki,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial