JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Wanita Bangladesh Dipercayai Potong Kemaluan Kekasih Di Gelang Patah

09/10/2025 07:00 PM

ISKANDAR PUTERI, 9 Okt (Bernama) -- Seorang wanita warga Bangladesh direman selama lima hari bermula hari ini, selepas dipercayai bertindak memotong kemaluan teman lelakinya akibat cemburu, dalam satu kejadian di Kampung Lokan, Gelang Patah, dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata suspek ditahan pada 12.15 tengah hari semalam, selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun pada 10.45 pagi.

Beliau berkata laporan dibuat selepas lelaki itu mendapati kenalannya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun, mengalami kecederaan serius pada bahagian kemaluan dan tangan kiri akibat dipotong oleh suspek yang berusia 34 tahun. 

“Hasil siasatan mendapati kejadian bermotifkan cemburu, apabila suspek mengetahui mangsa masih belum menceraikan isterinya di negara Bangladesh setelah menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dengan suspek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata hasil tangkapan turut membawa kepada rampasan sebilah pisau berukuran 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan. 

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah manakala mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana masuk dan tinggal tanpa permit sah.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan