AM

U-Pustaka Sediakan Lebih 1 Juta Bahan Bacaan Digital Percuma

10/10/2025 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Platform digital sehenti u-Pustaka di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menawarkan lebih 1 juta bahan bacaan dalam talian secara percuma kepada rakyat, sebagai usaha memastikan ketercapaian bahan bacaan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata  melalui inisiatif itu, masyarakat boleh mengakses pelbagai bahan digital termasuk e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-pembelajaran dan e-jurnal pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Sehingga kini, u-Pustaka telah merekodkan sebanyak 2,985,170 rekod bibliografi dengan 1,014,356 judul koleksi digital, selain menyediakan 22 pangkalan data digital untuk kegunaan umum.

“Antara pangkalan data yang disediakan termasuk Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru, menjadikan u-Pustaka sebagai gedung ilmu maya yang komprehensif, inklusif dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aaron, inisiatif itu bukan sahaja memperluas capaian bahan bacaan, tetapi juga memperkukuh perpaduan nasional melalui perkongsian ilmu, nilai dan kefahaman antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Beliau berkata usaha kerajaan menyemai budaya membaca dalam kalangan rakyat terus menunjukkan hasil  memberangsangkan apabila Kajian Profil Membaca mencatatkan peningkatan ketara dalam kadar bacaan.

“Pada 2005, purata rakyat hanya membaca dua buku setahun. Sepuluh tahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada 15 buku dan pada 2023, meningkat lagi kepada 24 buku setahun.

“Daripada jumlah itu, purata 16 buku dibaca dalam bentuk fizikal, manakala lapan buku lagi dibaca secara dalam talian,” menurut kenyataan itu.

Aaron berkata kajian terkini turut menunjukkan bahawa 88.6 peratus rakyat Malaysia kini merupakan pembaca aktif, satu pencapaian membanggakan yang membuktikan keberkesanan dasar serta inisiatif kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ilmu negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan