FOKUS BERNAMA

Mata Palsu: HPUSM Kembalikan Keyakinan Pesakit Kehilangan Mata

10/10/2025 03:34 PM
Daripada Habsah Ismail

Kehilangan mata, sama ada kerana kemalangan, penyakit ataupun dilahirkan tanpa bola mata, bukan sekadar hilang nikmat penglihatan tetapi, bagi sesetengah mereka, turut menjadi beban psikologi yang menjejaskan keyakinan sosial malah peluang kerjaya. 

Namun, dengan bantuan mata palsu, keyakinan diri seseorang dapat dikembalikan, memungkinkan mereka menjalani kehidupan tanpa stigma masyarakat walaupun dari segi realiti pemakaian mata palsu atau mata kaca atau mata batu tidak memulangkan penglihatan. 

Pakar Mata Okuloplastik, Orbital & Lakrimal Dr Evelyn Tai Li Min daripada Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM)  di sini, berkata mata palsu memberikan peluang kedua kepada pesakit untuk tampil di khalayak umum dengan yakin.

“Ketiadaan bola mata bukan sekadar soal kosmetik tetapi soal emosi dan harga diri. Ada pesakit yang menghadapi kemurungan dan tekanan perasaan akibat kehilangan bola mata, khususnya mereka yang matanya terpaksa dibuang kerana penyakit dan demi menyelamatkan nyawa mereka.

“Penglihatan memang tidak dapat dipulihkan dengan mata palsu ini tetapi kita bantu mereka kembali yakin dengan penampilan diri yang seterusnya memberi kesan besar kepada emosi dan kehidupan pesakit,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

 

KELIHATAN SEMULA JADI

Menurut Dr Tai, teknologi juga telah memungkinkan penghasilan mata palsu yang menyamai mata sebenar pesakit, sekali gus menjadikan penampilan mereka nampak semula jadi. 

“Dengan adanya mata palsu yang optimal, penampilan pesakit hampir tidak dapat dibezakan dengan orang lain,” katanya, menambah kos implan orbitual dan prostesis mata hanya kira-kira RM500 untuk satu mata palsu.

pic-2

Jelas beliau lagi, lazimnya, mata palsu atau prostesis mata ditempah khas agar warna iris dan saiz anak mata dapat dipadankan dengan mata asal.

 “Kalau pakai prostesis ‘ready-made’ memang nampak berbeza, kerana itulah kebanyakan pesakit lebih sesuai dengan prostesis tempah khas. Hasilnya orang lain hampir tidak sedar mereka (pesakit) memakai prostesis mata,” katanya, menambah pembuatan mata palsu hampir sama dengan penghasilan gigi palsu.

Berkongsi lanjut, Dr Tai berkata bagaimanapun tidak semua pesakit yang kehilangan mata dirujuk untuk pemakaian mata palsu.

“Pesakit perlu diperiksa oleh pakar mata untuk mengetahui kesesuaian soket matanya bagi prostesis mata. Biasanya mereka yang kehilangan mata akibat kemalangan, penyakit seperti kanser mata, terkena jangkitan serius atau kecacatan sejak lahir dirujuk untuk rawatan mata palsu ini,” jelasnya.

 

RAWATAN IMPLAN ORBITAL

Menurut beliau, pemasangan mata palsu melibatkan dua komponen utama, iaitu implan orbital untuk mengisi soket atau lekuk mata yang kosong dan prostesis mata bagi bahagian luar yang boleh disamakan dengan kanta lekap besar.

“Implan orbital berfungsi membantu pergerakan mata palsu nampak semula jadi, selain memberi sokongan lebih baik kepada prostesis mata. 

pic-3

“Tanpa implan, posisi prostesis mata mungkin kurang stabil dan boleh menyebabkan kelopak mata kelihatan tidak simetri,” katanya, menambah bagaimanapun tidak semua pesakit memerlukan implan orbitual.

“Lazimnya, pesakit yang menjalani prosedur mengeluarkan mata memerlukan implan orbitual yang diperbuat sama ada daripada bahan sintentik ataupun tisu badan pesakit sendiri yang sebenarnya lebih baik, kerana kurang risiko berlaku hakisan pada lapisan mukosa dan menyebabkan implan terdedah pada masa akan datang,” jelas beliau lagi.

Dr Tai berkata  implan itu akan ditanam di bawah lapisan mukosa untuk menyokong struktur soket dan pesakit memerlukan enam hingga lapan minggu untuk pulih selepas prosedur tersebut.

“Selepas pulih, pesakit akan dirujuk kepada pakar prostodontik bagi pembuatan prostesis mata,” katanya.

 

PEMBUATAN PROSTESIS MATA

Hospital itu mempunyai kepakaran sendiri dalam penghasilan prostesis mata menerusi Dr Nor Aidaniza Abdul Muttli daripada Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG).

“Pembuatan prostesis mata dijalankan selepas soket mata pesakit stabil dan kita hasilkan prostesis itu d makmal PPSG,” kongsi Pakar Pergigian Prostodontik itu dengan Bernama.

pic-4

Jelasnya, prostesis mata diperbuat daripada akrilik resin (polymethylmethacrylate) iaitu bahan ringan, biocompatible, tahan lama, mudah dibentuk dan lebih cekap kos.

“Proses pembuatan merangkumi beberapa tahap klinikal dan makmal termasuk mengambil cetakan soket, menghasilkan model lilin, pewarnaan mengikut mata asal dan pemprosesan akhir.

“Hasilnya, pesakit memperoleh prostesis mata yang menyerupai keadaan asal dengan ketepatan tinggi,” katanya.

Dr Nor Aidaniza menjelaskan pesakit diajar teknik memakai dan menanggalkan prostesis mata yang boleh dipakai sepanjang masa termasuk ketika tidur.

“Bagaimanapun prostesis mata perlu dibersihkan sebulan sekali, hanya menggunakan air biasa yang bersih dan sabun lembut (pH dalam julat neutral ke hampir neutral [6.5-7.5]).

“Memang ada pesakit keliru, mereka sangka dengan mata palsu mereka dapat balik penglihatan mereka. Kita terpaksa jelaskan yang mata palsu hanya membantu mereka tampil seperti orang lain agar mereka rasa tidak rasa rendah diri, malu atau tertekan.

“Biasanya, kanak-kanak paling terjejas kerana mereka terdedah kepada rakan sebaya yang mungkin tidak memahami keadaan.

“Atas faktor itu juga kita menyarankan dalam kes melibatkan bayi agar rawatan diberikan seawal mungkin untuk memastikan pertumbuhan wajah seimbang. Jika tidak ada bola mata, struktur muka boleh terbantut, suatu keadaan yang berisiko menjejaskan perkembangan psikologi mereka ketika membesar,” jelasnya.

Menurut Dr Nor Aidaniza, dalam kes kanak-kanak, mereka perlu berjumpa pakar setiap tiga hingga enam bulan untuk menggantikan prostesis mata mengikut tumbesaran mereka.

 

KESEDARAN MASIH RENDAH

Sementara itu, Dr Tai berkata kini rawatan implan orbital dan prostesis mata tersedia di hospital pengajar seperti HPUSM dan hospital besar di Malaysia, sekali gus meluaskan akses kepada pesakit di seluruh negara.

“Buat masa ini HPUSM juga menjadi hospital rujukan bagi pantai timur. Di Kelantan ini sendiri hanya ada dua pakar mata okuplastik dan orbitual termasuk saya serta pakar di Jabatan Oftalmologi, Hospital Raja Perempuan Zainab  II, Dr Haslinda A.Rahim @ Samsuddin,” katanya.

pic-5

Dalam pada itu, beliau berkata pemerhatiannya mendapati kesedaran awam tentang kepentingan menjaga kesihatan mata masih rendah khasnya dalam kalangan mereka yang memakai kanta lekap untuk tujuan kosmetik. 

“Isunya ramai yang membeli kanta lekap tidak berkualiti di gerai atau pasar malam tanpa menyelidik sama ada kanta lekap itu bermutu atau mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan, merisikokan mereka kepada jangkitan kuman.

“Kalau jangkitan teruk, kornea mata boleh luka dan menjadi ulser, akhirnya bocor. Jika berlarutan, mata tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dibuang. Keadaan ini yang mahu kita elak,” ujarnya dan menasihati pemakai agar sentiasa menjaga kebersihan kanta lekap mereka di samping membeli daripada sumber yang sah.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, mata palsu tidak mengembalikan penglihatan. Kita cuma bantu pulihkan keyakinan diri pesakit. Mata kita tidak ada ganti. Justeru, jaga dengan baik,” nasihatnya.

 

KISAH DUA PESAKIT TUKAR BOLA MATA PALSU

Kepakaran HPUSM memberi manfaat kepada ratusan pesakit termasuk Sook Tin Sukritnard Sook Tih, 33, dari Kampung Terbak, Tumpat yang kehilangan mata kanan akibat kemalangan jalan raya sembilan tahun lalu.

“Akibat kemalangan, saya patah paha kanan dan mata kanan rosak teruk. Saya koma dan apabila sedar terus tak nampak. Mula-mula memang sedih, tapi lama-kelamaan saya terima hakikat,” katanya yang bekerja sebagai peniaga sayur di pasar. 

Cerita lelaki berketurunan Siam ini dia mendapatkan bola mata palsu selepas menerima nasihat pakar yang memaklumkan rongga matanya semakin sempit kerana tidak memakai prostesis sejak kemalangan itu.

“Saya buat mata palsu dengan harapan mata kanan saya kelihatan sama besar dengan kiri,” katanya yang tinggal bersama-sama dengan ibu dan ayahnya.

Katanya walaupun penglihatannya tidak lagi sempurna, semangatnya untuk bekerja tidak pernah luntur kerana baginya kecekalan hidup lebih penting daripada kesempurnaan rupa.

Zainan Alif Zahari, 29, dari Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh pula kehilangan mata kiri ketika berusia tujuh tahun akibat dicucuk dengan pen oleh individu yang mengalami masalah mental.

“Ketika itu saya sedang duduk di luar rumah saudara saya… dia datang dan tiba-tiba cucuk mata saya menggunakan pen. Mata pen itu tertusuk saraf ke otak, menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak,” kata pemuda berasal dari Kampung Permatang Sungkai, Pasir Puteh ini.

Menurutnya, bola matanya terpaksa dikeluarkan dan digantikan dengan bola mata palsu.

“Saya dah biasa pakai dan tukar mata palsu. Dah tujuh kali tukar bola mata untuk disesuaikan dengan saiz rongga mata yang berubah ikut tumbesaran saya sejak kecil.

“Sebenarnya kena tukar dua tahun sekali sebab mata kita membesar, tetapi saya tak selalu buat sebab ambil masa dan kena tunggu giliran. Sekarang tukar sebab dah rasa longgar dan tak selesa,” katanya ketika ditemui Bernama.

Dia bagaimanapun mengakui di awal pemakaian mata palsu, ada dalam kalangan ahli masyarakat yang melihatnya dengan pandangan pelik.

“Dulu saya malu juga nak keluar rumah, tapi sekarang saya bersyukur kerana masih dapat melihat dunia dengan mata yang sebelah ini serta dapat bekerja. Sekarang saya juga lebih yakin sebab mata baharu ini nampak sama (dengan mata asal) dan tak sakit,” katanya yang bekerja sendiri.

HPUSM yang juga pusat rujukan prostetik okular di pantai timur, menyediakan khidmat reka bentuk dan pemasangan bola mata palsu secara klinikal, melibatkan kepakaran pelbagai bidang termasuk oftalmologi, pergigian makmal acuan serta pemulihan psikososial bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit yang kehilangan penglihatan.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan