AM

MAIM Salur Bantuan Persekolahan Lebih RM3.15 Juta

28/12/2025 11:22 AM

MELAKA, 28 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyalurkan bantuan awal persekolahan sesi 2026 melibatkan peruntukan RM3.15 juta kepada 9,000 kanak-kanak asnaf, fakir dan miskin di negeri itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata setiap penerima terdiri daripada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima RM350 dalam bentuk baucar untuk menebus pakaian serta barangan keperluan persekolahan.

“Bantuan ini antara inisiatif tahunan dilaksanakan MAIM untuk membantu meringankan beban kewangan golongan asnaf, fakir dan miskin membeli barangan keperluan bagi memastikan anak mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan sempurna,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau ditemui pada Majlis Melaka Berselawat sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rahmad berkata baucar itu boleh ditebus di lokasi ditetapkan dalam tempoh seminggu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 3,000 program ilmu dan keagamaan melibatkan pelbagai peringkat seperti surau, masjid, daerah, negeri dan kebangsaan dilaksanakan di Melaka dalam tempoh setahun bagi mengimarahkan serta memperkukuh perkembangan Islam.

Majlis Melaka Berselawat dihadiri kira-kira 5,000 umat Islam dengan antara pengisian ialah ceramah agama oleh Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan