IPOH, 28 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan liputan perkhidmatan telekomunikasi khususnya bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile telah terjejas susulan insiden kebakaran di sebuah menara komunikasi di Kampung Kelebor dekat Kuala Kangsar semalam.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa insiden itu, yang melibatkan menara komunikasi milik Maxis menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis, berlaku pada 6.50 petang.
Antara kawasan liputan perkhidmatan telekomunikasi yang terjejas ialah Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.
Menurut MCMC, liputan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berdekatan dengan lokasi kejadian turut terkesan.
"Punca kebakaran menara berkenaan masih dalam siasatan... akses ke lokasi kejadian telah ditutup oleh pihak berkuasa bagi membolehkan pihak berkenaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan lanjut.
"Pada masa sama, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan berkaitan untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta termasuk penyediaan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan yang berlaku," menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah kecemasan, MCMC telah melaksanakan penyelesaian sementara dengan mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (arah utara) PLUS bagi memastikan pengguna lebuh raya kekal mempunyai akses komunikasi.
Selain itu, MCMC memaklumkan pihaknya telah mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan untuk memperketat penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pemantauan berterusan di semua menara selaras dengan keperluan kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna.
Semalam, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu, dan kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan tuan tanah yang menggunakan alat pemadam api serta air tadahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial