AM

Perak Tambah Peruntukan Perak Pawsitive Initiative Kepada RM0.3 Juta

28/12/2025 06:21 PM

IPOH, 28 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak terus memperkukuh komitmen dalam menangani isu haiwan jalanan supaya masalah itu ditangani secara mampan, berperikemanusiaan dan berasaskan tanggungjawab bersama apabila meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM0.3 juta bagi tahun depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata penambahan peruntukan itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri apabila menyentuh aspek keselamatan awam, kesihatan, kebersihan, persekitaran serta nilai kemanusiaan dalam komuniti.

“Tahun ini peruntukan sebanyak RM0.15 juta telah diberikan dan dengan bajet yang ada kita hanya mampu bergerak di beberapa kawasan di sekitar Ipoh dan Kampar.

“Namun, dengan bajet yang kita dapat untuk tahun depan, saya fikir program ini dapat diperluas ke Taiping dan Manjung berdasarkan permintaan komuniti di sana mengenai isu lambakan haiwan jalanan, terutama anjing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Perak Pawsitive Initiative 2025 di Dewan Megastar, di sini hari ini yang turut dihadiri lebih 100 peserta.

Perak Pawsitive Initiative mula dilancarkan pada 2024 sebagai pendekatan holistik kerajaan negeri dalam menangani isu haiwan jalanan secara berperikemanusiaan dan mampan melalui pelaksanaan program pemandulan, vaksinasi dan pendidikan awam.

Ng berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan dana khusus sebanyak RM0.1 juta bagi pembinaan tempat perlindungan haiwan jalanan di beberapa lokasi yang bersesuaian.

Mengulas tentang Aplikasi Feeder Mapping, beliau berkata aplikasi berkenaan berkesinambungan dengan Program Feeder Mapping yang diwujudkan sebelum ini bagi memastikan proses pemandulan, pemantauan dan intervensi dapat dilaksanakan secara lebih sistematik berasaskan data sebenar.

Beliau berkata aplikasi berkenaan dijangka dapat digunakan pada awal tahun hadapan selain terbuka kepada komuniti feeder, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta individu yang terlibat secara langsung dalam kebajikan haiwan jalanan.

“Aplikasi ini secara dasarnya dibangunkan bagi menyelaras maklumat feeder, menyokong perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang selain memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

“Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi bandar pintar, dengan teknologi digunakan sebagai alat sokongan kepada penyelesaian sebenar bukan sekadar untuk digitalisasi, tetapi memudahkan kerja, mempercepat tindakan dan meningkatkan keberkesanan dasar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan