MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita enam kenderaan mewah dalam operasi khas Ops Luxury yang dilaksanakan di sekitar negeri itu dari 1 Ogos lepas.
Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata kesemua kenderaan berkenaan disita atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah.
"Pemeriksaan lanjut turut mendapati sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz dipandu oleh seorang individu yang Lesen Memandu Kompeten (CDL) telah digantung.
"Perbuatan ini merupakan satu kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata JPJ memandang serius kesalahan memandu tanpa kelayakan yang sah dan menegaskan status kenderaan mewah tidak memberikan sebarang kekebalan daripada tindakan penguatkuasaan.
"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memandu ketika lesen digantung atau gagal mematuhi syarat pelesenan ditetapkan.
"Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan lesen memandu berada dalam tempoh sah dan tidak digantung, selain memastikan LKM serta perlindungan insurans kenderaan diperbaharu bagi mengelakkan tindakan undang-undang lebih berat dikenakan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial