KANGAR, 10 Jan (Bernama) -- Rejimen 504 Askar Wataniah menawarkan inisiatif latihan luar berteraskan pendidikan serta pembentukan sahsiah yang berpusat di Kem Bukit Keteri di sini menerusi dua modul teras, iaitu ‘Latihan Survival’ (Ikhtiar Hidup) dan ‘Kem Jati Diri’.
Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif latihan luar itu khusus untuk pelajar sekolah sebagai persediaan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Antara pengisian latihan termasuk keupayaan mengenal pasti sumber air, pemilihan bahan semula jadi untuk dijadikan tali, kemahiran ikatan serta pembinaan tempat perlindungan.
"Turut ditekankan ialah teknik navigasi menggunakan kompas dan petunjuk alam, asas bantuan kecemasan, kaedah pergerakan selamat di kawasan berbukit serta pengurusan risiko ancaman haiwan berbisa termasuk pengenalpastian dan tindakan awal sekiranya berlaku gigitan atau patukan," menurut kenyataan itu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Lasahi Laiji sempena pelancaran promosi ‘Latihan Survival Skill’ (Ikhtiar Hidup) dan ‘Kem Jati Diri’ Rejimen 504 Askar Wataniah Bagi Tahun 2026 di kem berkenaan, baru-baru ini.
Pelancaran promosi itu disempurnakan anakanda Raja Muda Perlis yang juga merangkap Komander rejimen itu Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, iaitu Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail serta Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 3,276 pelajar dari 42 sekolah sepanjang 2024, manakala 780 pelajar daripada tujuh sekolah pada tahun lepas telah menyertai latihan itu.
Sementara itu, ketiga-tiga anakanda Raja Muda Perlis itu turut berkenan mendengar taklimat daripada pegawai dan anggota Rejimen 504 Askar Wataniah untuk mencuba sendiri teknik dan langkah latihan yang diajar sebagai persediaan membantu diri sendiri dalam situasi kecemasan atau memerlukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial