AM

K'jaan Persekutuan, Negeri Perlu Laksanakan Rumusan MKI - Sultan Nazrin

13/01/2026 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri hendaklah melaksanakan tindakan susulan terhadap segala ketetapan dan rumusan yang dikemukakan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) dengan bersungguh-sungguh, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah kerajaan termasuk agensi-agensi yang bertanggungjawab, hendaklah memberi perhatian serta menghormati perkara yang telah dirumuskan MKI, demi memberikan nilai bermakna kepada peranan MKI.

Titah baginda ketetapan dan rumusan yang dicapai serta diperakukan, wajib dihargai supaya MKI tidak dianggap sekadar forum untuk berbincang dan berhujah, sedangkan perakuan yang dirumuskan, ditinggalkan tergantung tanpa sebarang tindakan susulan.

Sultan Nazrin bertitah dalam tempoh dua tahun baginda diamanahkan mempengerusikan MKI, pelbagai perkara telah dibincang dan dipertimbangkan mesyuarat itu untuk mencapai persefahaman dan persepakatan, malah Majlis Raja-Raja telah dipersembahkan perkara-perkara yang dirumuskan.

“Yang lebih penting ialah tindakan susulan atas segala saranan dan rumusan, supaya saranan dan rumusan tidak tinggal sebagai dokumen bertulis yang menghadapi nasib tenggelam dalam timbunan kertas. 

“Ketetapan dan rumusan, apabila disusul serta dilaksanakan secara bersungguh, akan memberi manfaat langsung kepada rakyat, di samping memberi imej baik kepada kerajaan, malah lebih daripada itu meningkatkan penghormatan, pemahaman, penghayatan dan apresiasi terhadap Islam bukan sahaja dalam kalangan umat Islam malah dalam kalangan bukan Islam,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) Ke-74, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan timbalannya Marhamah Rosli, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Mesyuarat MKI ke-74 merupakan mesyuarat ketiga yang dipengerusikan Sultan Nazrin dalam tempoh masa baginda diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja bermula 10 Mac 2024 dan akan berakhir pada 9 Mac ini.

Sultan Nazrin bertitah baginda berusaha memenuhi peranan dan tugas yang diamanahkan dengan bantuan ahli dan kakitangan urus setia MKI, serta didukung lima jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Jawatankuasa Muzakarah, Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada setiap ahli MKI, kakitangan urus setia, serta pengerusi dan ahli jawatankuasa yang telah menyempurnakan amanah, melaksanakan peranan masing-masing, dan membentangkan laporan dalam mesyuarat-mesyuarat MKI.

Dalam masa sama, Sultan Nazrin menzahirkan penghargaan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar atas sumbangan dan khidmat sepanjang tempoh beliau menganggotai MKI, bermula 3 Dis 2022 hingga 16 Dis lepas.

“Mesyuarat MKI ke-74 merakamkan ucap tahniah kepada Dr Zulkifli dan Marhamah atas pelantikan mereka sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan mengalu-alukan penyertaan mereka sebagai ahli dan turut hadir Mesyuarat MKI,” titah baginda.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan