AM

MCMC Ambil Tindakan Perundangan Terhadap Platform X Berkait Keselamatan Pengguna

13/01/2026 05:51 PM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap X Corp. (dahulunya Twitter) dan xAI LLC, susulan kegagalan mereka memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan peguam cara telah dilantik dan prosiding undang-undang akan bermula dalam masa terdekat.

“MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya, termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau dan imej manipulasi tanpa persetujuan.

“Kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang amat membimbangkan. Perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia dan menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan,” menurut kenyataan MCMC.

Difahamkan notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Jan, yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang-undang namun tiada tindakan pemulihan diambil.

Menurut kenyataan MCMC, X Corp. dan xAI LLC boleh dipertanggungjawabkan, walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna.

“Mereka kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan dan langkah mitigasi risiko bagi Grok. Tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi.

“MCMC mengambil maklum kegagalan X Corp. dan xAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri. Kegagalan ini berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia,” menurut kenyataan MCMC.

Menurut MCMC, ia kekal komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam serta mengingatkan semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendak mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia berkaitan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan