AM

RPN Mampu Pertingkat Piawaian Pendidikan Seiring Perkembangan Global - PIBG

23/01/2026 02:44 PM

Oleh Frank Julian Martin

SIBU, 23 Jan (Bernama) -- Inisiatif kerajaan untuk merombak sistem pendidikan kebangsaan melalui Rancangan Pendidikan Nasional (RPN) 2026-2035 adalah tepat pada masanya dan perlu bagi meningkatkan piawaian, menurut Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Julau No 2 Emand Sedau berkata sistem pendidikan Malaysia mesti diselaraskan dengan perkembangan global khususnya di negara seperti Singapura dan Hong Kong yang memberi penekanan kuat terhadap teknologi serta pendidikan teknikal.

“Saya amat percaya inisiatif kerajaan untuk merombak sistem pendidikan kita akan membantu meningkatkan piawaian pendidikan negara kerana kita kini ketinggalan berbanding perkembangan global terutama dalam bidang teknologi dan teknikal,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pelan itu membuktikan tumpuan Kerajaan Persekutuan yang lebih kukuh terhadap Pendidilan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan terhadap kepakaran berkemahiran dalam pelbagai sektor teknikal.

“TVET mampu memperluas peluang pendapatan tinggi serta menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID Sarawak 2030. Sarawak kini membuat pelaburan besar dalam TVET bagi membangunkan tenaga kerja mahir untuk transformasi ekonomi, dengan bidang tumpuan termasuk kecerdasan buatan, teknologi hijau, kemahiran digital dan pertanian moden yang disokong oleh kerjasama rapat dengan industri,” katanya.

Emand juga menyambut baik cadangan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib di sekolah dan institusi pengajian tinggi sambil menyifatkan ia sebagai satu langkah positif ke arah memperkukuh pemahaman pelajar terhadap warisan dan identiti negara.

Menyentuh mengenai “Sekolah Inspirasi”, beliau berkata inisiatif itu mampu menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar merentas daerah dan mendorong peningkatan prestasi akademik.

Beliau juga menyokong langkah memperkasa penggunaan Bahasa Inggeris seiring dengan Bahasa Melayu terutama dalam menekankan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendidikan prasekolah.

“Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang wajib dikuasai oleh semua rakyat manakala Bahasa Inggeris juga sama penting untuk kemajuan teknologi. Pendedahan awal kepada kedua-dua bahawa perlu dilaksanakan tanpa prejudis,” he said.

RPN dilancarkan pada 20 Jan lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membina sistem pendidikan yang berkualiti tinggi, inklusif dan berdaya saing.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan