AM

Kerajaan Terus Komited Perkasa Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar

25/01/2026 04:08 PM

KAPIT, 25 Jan (Bernama) -- Kerajaan terus komited memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Dewan Kebiau di Skim Penempatan Semula Song Fasa II, Kebiau, Song, yang bernilai RM1.92 juta dan siap sepenuhnya pada 13 Mei 2024.

Projek ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dan Persekutuan menyediakan kemudahan asas moden, selesa dan inklusif di luar bandar.

“Dewan Kebiau bukan sekadar tempat berhimpun, tetapi menjadi pusat aktiviti kebudayaan, sosial, ekonomi, pendidikan dan keagamaan, sekaligus memperkukuh perpaduan masyarakat setempat,” katanya.

Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit, merakamkan penghargaan kepada JKR Sarawak, JKR Bahagian Kapit, Majlis Daerah Kapit (MDK) dan kontraktor pelaksana atas pelaksanaan projek yang cekap dan menepati spesifikasi serta tempoh kontrak.

Pada majlis sama, beliau menyaksikan penyerahan peralatan Projek Perikanan Darat di bawah Program Sosioekonomi Community@SCORE RECODA oleh Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).

Projek perintis ini melibatkan sembilan peserta perikanan darat dari daerah Song, masing-masing menerima tujuh jenis peralatan, termasuk bot fiber dan enjin sangkut, bagi meningkatkan pengeluaran ikan air tawar serta pendapatan isi rumah.

Nanta turut memaklumkan beberapa projek pembangunan fizikal sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Song dan Kapit, antaranya projek jalan Nanga Banjor/Nanga Makut dan Nanga Makut/Nanga Engkuah di bawah URDA, serta cadangan pembinaan jalan dan jambatan menghubungkan Jalan Nanga Belawai ke Jalan Song–Kapit di bawah JKR.

Selain itu, projek jalan dan jambatan di Nanga Bangkit serta Nanga Nansang Tekalit, bersama Projek Tebingan Sungai Song (Song Waterfront Project) dan Projek Pasar Hasil Hutan (Jungle Produce Market Project), dijangka meningkatkan akses pedalaman, memperindah pekan Song dan merancakkan ekonomi tempatan.

Beliau juga memaklumkan Projek Jalan Nanga Kabah/SK Beguang di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 31 Mac 2027.

Pada majlis itu, Nanta menyampaikan sijil pelantikan kepada tiga ketua masyarakat baharu dan 43 ketua kaum (tuai rumah), serta sijil penghargaan kepada tiga ketua masyarakat yang telah bersara.

Beliau menegaskan peranan ketua masyarakat dan ketua kaum sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, sambil berharap mereka melaksanakan amanah dengan dedikasi, adil dan telus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan