Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah (WFH) dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pengalaman Malaysia ketika pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa sektor awam mampu menyesuaikan diri dengan cepat melalui penggunaan teknologi dan kaedah kerja baharu.
"Pengalaman ini telah membantu membentuk dasar yang lebih matang dan bersedia menghadapi sebarang situasi luar jangka," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas keperluan melaksanakan WFH untuk penjawat awam sebagai langkah penjimatan susulan konflik berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, di sini, hari ini.
Beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina mengumumkan langkah berjaga-jaga antaranya WFH bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid.
Konflik di Asia Barat bermula pada 28 Feb lepas apabila Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran melalui serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu.
Ketegangan tersebut turut menjejaskan pasaran tenaga global apabila laluan strategik Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, terjejas susulan ancaman dan tindakan Iran yang menghalang laluan kapal di kawasan itu.
Situasi berkenaan menyebabkan harga minyak dunia menjadi tidak menentu berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Dahlan menegaskan pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel perlu dilaksanakan secara seimbang serta bergantung kepada kesesuaian fungsi sesuatu perkhidmatan.
"Prinsip utama yang dipegang oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) ialah memastikan sebarang bentuk fleksibiliti kerja tidak menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata JPA sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab merangka dasar dan pekeliling berkaitan pengurusan sumber manusia sektor awam, telah lama mengambil pendekatan proaktif dalam memperkenalkan pengaturan kerja fleksibel, termasuk bekerja daripada rumah bagi memastikan perkhidmatan awam kekal responsif dan berdaya tahan.
"Sebenarnya, konsep WFH bukan sesuatu yang baharu dalam perkhidmatan awam Malaysia. Melalui garis panduan dan pekeliling yang dikeluarkan oleh JPA, ketua jabatan diberikan fleksibiliti untuk melaksanakan pengaturan kerja fleksibel, termasuk bekerja dari rumah bagi tugas-tugas yang bersesuaian tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata pendekatan itu turut diperkukuh melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menekankan budaya kerja yang lebih fleksibel, berorientasikan hasil serta disokong oleh penggunaan teknologi digital.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil hari ini berkata cadangan kesesuaian pelaksanaan WFH bagi sektor awam akan diteliti terlebih dahulu dan berkemungkinan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial