JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Kedah Reman Semula Pendakwah Bebas, Ketua Jabatan Kewangan Dan Perakaunan

06/02/2026 01:13 PM

ALOR SETAR, 6 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman semula seorang pendakwah bebas serta ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah di negeri ini kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta.

Perintah reman sehingga 8 Feb terhadap dua suspek itu dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dalam lingkungan 30-an ditahan sekali lagi kira-kira 6 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani melibatkan siasatan kes lain.

“Pendakwah bebas yang juga pengarah urusan institusi itu direman buat kali kedua kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM1.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya.

“Pada masa sama, siasatan mendapati dua suspek terlibat telah meluluskan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.

Semalam, dua suspek itu ditahan reman kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 sebagai bayaran mengumpul dana institusi pusat pendidikan dan dakwah tersebut tanpa mendapat kelulusan rakan kongsi lain.

Mereka ditahan reman sehari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibebaskan pada 5 petang hari sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sejak Oktober tahun lepas dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan