AM

1,493 Kandungan 3R Diturunkan, Rakyat Diingatkan Jaga Adab Dan Keselamatan - Fahmi

07/02/2026 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Sebanyak 1,493 kandungan berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) berjaya diturunkan setakat ini hasil pemantauan rapi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pengendali platform global.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada maklum balas terhadap 2,486 aduan yang dikemukakan bagi memohon penurunan kandungan sensitif bagi tempoh 1 Jan 2025 hingga 31 Jan 2026.

Beliau berkata meskipun rakyat mempunyai hak untuk bersuara sebagaimana diputuskan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, ia tidak memberikankebebasan mutlak untuk melakukan fitnah atau mencetuskan provokasi melampau, khususnya yang menyentuh sensitiviti 3R.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan menunjukkan kita ada hak untuk bersuara, tetapi tidak ada hak untuk memfitnah atau mengeluarkan kata-kata bersifat 3R.

“Walaupun kita telah meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233(1), yang tidak lagi mengguna pakai perkataan jelik, tetapi (sekarang) menggunakan jelik melampau, masalah ataupun mesej 3R itu masih dianggap satu jenayah dan boleh diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di pekarangan Pasar Taman Sri Sentosa, petang ini.

Fahmi berkata mesej berunsur 3R masih dianggap satu kesalahan di bawah akta itu, khususnya Seksyen 233 dan boleh dikenakan denda hingga RM500,000, selain menegaskan MCMC berupaya mengesan individu yang meninggalkan komen berunsur 3R, walaupun bukan pada hantaran asal.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun secara aman, namun perhimpunan tidak dibenarkan sekiranya bertujuan memecah-belahkan rakyat dan mengganggu gugat keselamatan negara.

Beliau berkata perkara itu perlu diberikan perhatian khusus menjelang lawatan tetamu negara, termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi pada hari ini.

“Kita perlu berhati-hati dalam melaksanakan perhimpunan. Jika ia menjurus kepada motif memecah-belahkan rakyat dan mengganggu keselamatan, ia tidak dibenarkan,” katanya.

Fahmi berkata pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan