AM

PRISManita Tidak Libat Peruntukan Tambahan, Bertindak Sebagai Pusat Sehenti Wanita - Nancy

11/03/2026 09:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) yang dilancarkan oleh kerajaan semalam tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan tambahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif itu, yang diletakkan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita peringkat negeri, dilaksanakan dengan hanya mengoptimumkan sumber sedia ada.

"Ia tidak memerlukan ramai orang... sebab itu apabila kita memperkenalkannya, kita tidak perlu banyak wang atau tambah wang... kita tak perlu peruntukan lain... cuma kita tugaskan seorang pegawai khas untuk menyahut dan menjawab segala keperluan supaya mereka (wanita) dapat jimat masa dan pergi ke tempat yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Program Cahaya Ramadan bersama Gardenia di ISTAC-IIUM di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Nancy menyifatkan PRISMAnita sebagai pusat sehenti penting bagi menyelesaikan kekeliruan wanita dalam mencari saluran pembelaan yang tepat.

Beliau berkata kemudahan kaunter khusus itu bertujuan memudahkan golongan wanita yang berdepan sebarang masalah, termasuk isu keganasan rumah tangga, untuk mendapatkan bantuan secara terus tanpa perlu membuang masa.

Semalam, kerajaan melancarkan inisiatif  PRISMAnita bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan sokongan terhadap golongan wanita khususnya dalam menangani pelbagai isu kekeluargaan termasuk keganasan rumah tangga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PRISMAnita berperanan memudahkan akses kepada perkhidmatan lebih cekap, pantas, selaras dan mesra mangsa selain menyediakan tawaran sokongan lebih menyeluruh kepada kaum hawa.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja melibatkan penyediaan perkhidmatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tetapi turut didukung oleh kementerian serta jabatan berkaitan bagi memastikan penyelarasan bantuan kepada wanita dilaksanakan secara menyeluruh.

“Dalam rangka Kerajaan MADANI, kita pastikan PRISMAnita tidak bergerak silo... program dan acara serta ikhtiar KPWKM mesti didukung sepenuhnya oleh semua kementerian dan jabatan berkaitan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan