JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Didakwa Bunuh Kenalan Susulan Pertelingkahan Berkaitan Telefon Bimbit

18/03/2026 01:28 PM

MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan membunuh kenalannya susulan pertelingkahan berkaitan telefon bimbit, minggu lepas.

Saiful Hadi Othman, 44, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Muhamad Hanafi Yusof, 25, di sebuah rumah di Sungai Udang di sini antara 7.58 malam hingga 8.15 malam pada 11 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta maksimum 40 tahun, dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati boleh dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Sulaiman namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif manakala Saiful Hadi tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan