BUKIT GANTANG, 18 Mac (Bernama) -- Kira-kira 2,000 ekor ayam berharga RM7 sekilogram habis dijual dalam masa setengah jam pada program Jualan Termurah MADANI sempena Aidilfitri di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.
Selain ayam, orang ramai juga tidak melepaskan peluang membeli daging lembu yang dijual serendah RM24 sekilogram selain minyak masak, telur, tepung, gula dan lain-lain keperluan makanan.
Seorang pembeli, Roszie Nazra Abdul Razak, 47, dari Larut Tin di sini berkata dia tidak akan melepaskan peluang apabila program sedemikian diadakan setiap kali menjelang musim perayaan.
"Harga ayam dan daging sangat murah berbanding beli di pasar atau tempat lain sekali gus menjimatkan perbelanjaan menyambut hari raya.
"Saya beli pelbagai barangan seperti ayam, daging dan lain-lain dalam kuantiti yang banyak. Kesemuanya saya belanja tidak sampai RM500," katanya ketika ditemui pada program jualan berkenaan.
Azhari Abd Aziz, 63, dari Kampung Hujung Matang di sini berkata dia memanfaatkan peluang membeli 40 ekor ayam untuk disedekahkan kepada penduduk kampungnya yang kurang berkemampuan.
"Program sebegini bagus diadakan selalu sebab sangat membantu golongan kurang berkemampuan membeli keperluan hari raya,” katanya.
Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata konsep jualan pukal digunakan pada program itu bagi mendapatkan harga lebih rendah sebelum dijual kepada orang ramai tanpa subsidi kerajaan.
"Kita beli dalam kuantiti besar untuk dapat diskaun, kemudian kita terus jual kepada rakyat pada harga lebih murah. Ini usaha sendiri untuk bantu kurangkan beban kos sara hidup,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial