EKONOMI

Subsidi Bersasar Malaysia Dijangka Kurangkan Tekanan Inflasi Susulan Konflik Asia Barat -- MARC

18/03/2026 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Inflasi utama Malaysia dijangka kekal terkawal, disokong oleh subsidi bersasar kerajaan, di tengah-tengah konflik Asia Barat, kata Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

“Dari segi fiskal, berikutan potensi subsidi yang lebih tinggi, nisbah defisit fiskal kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mungkin meningkat tetapi kekal baik di bawah empat peratus pada 2026, tertakluk kepada kemungkinan penurunan perbelanjaan lain dan peningkatan sumber hasil seperti sumbangan oleh entiti berkaitan kerajaan,” kata MARC dalam satu kenyatan hari ini. 

Katanya, kesan konflik di Asia Barat ke atas Malaysia dijangka sederhana, memandangkan perdagangan negara mengalami pendedahan yang minimum ke rantau itu dan kedudukannya sebagai pengeksport bersih hidrokarbon. 

Agensi penarafan itu berkata perdagangan Malaysia cenderung ke arah Asia, disokong oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan produk minyak sawit yang kukuh. 

“Inflasi domestik, terutamanya dalam segmen pengangkutan, akan berdepan dengan tekanan menaik. 

“Walaupun petrol RON95 kekal dilindungi oleh subsidi kerajaan, harga diesel dan bahan api jet berkaitan pasaran, yang mungkin meningkatkan kos pengangkutan, yang membawa kepada inflasi sekunder merentasi segmen pengguna yang lebih meluas,” tambahnya. 

Katanya, industri domestik utama, iaitu E&E, bahan kimia, pertanian dan logistik, akan berdepan dengan pendedahan segera kepada kos input yang tinggi, terutamanya untuk petroleum dan baja yang ditapis. 

Pada masa sama, potensi lencongan perdagangan memberi petanda baik kepada pengeksport gas asli cecair Malaysia dan sektor minyak sawit mentah, apabila sektor itu akan mendapat manfaat daripada permintaan biobahan api yang dipercepatkan susulan harga minyak yang lebih tinggi. 

“Mengimbangi peristiwa geopolitik luaran dengan daya tahan ekonomi domestik, MARC Ratings menjangkakan KDNK (Malaysia) kekal kukuh, dengan risiko penurunan sebanyak 0.2-0.4 peratus kepada unjuran asas KDNK 2026 kami sebanyak 4.6 peratus untuk Malaysia, tertakluk kepada situasi peperangan di Asia Barat,” katanya.

Ketika ini, MARC menjangkakan purata harga minyak mentah Brent antara US$70 dan US$80 setong pada 2026, disemak semula daripada unjuran awal US$60 kepada US$70 setong.

Agensi penarafan itu juga telah meningkatkan unjuran ringgit jangka pendeknya kepada 3.92-4.07 berbanding US dolar, mencerminkan peningkatan penghindaran risiko dalam pasaran mata wang pasaran baharu muncul dan jangkaan lebih rendah bagi penurunan kadar Rizab Persekutuan AS. 

Sehubungan itu, MARC berkata pergerakan ekonomi struktur Malaysia kekal kukuh, dan negara ini berada dalam kedudukan yang baik untuk kembali pulih sebaik sahaja fasa gangguan geopolitik semasa di Asia Barat, yang berkemungkinan bersifat sementara, reda. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan