AM

Orang Islam Disaran Amalkan Wasatiyyah Sambut Aidilfitri - Marhamah

18/03/2026 05:55 PM

MARANG, 18 Mac (Bernama) -- Orang ramai disaran mengamalkan pendekatan wasatiyyah atau bersederahana ketika menyambut Aidilfitri terutama dalam hal perbelanjaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.

Beliau berkata pendekatan bersederhana itu juga perlu dijadikan amalan dalam setiap perkara bukan hanya pada waktu tertentu atau ketika berlaku krisis. 

"Pada bila-bila masa pun kita perlu mengambil pendekatan wasatiyyah iaitu bersederhana dalam berbelanja bukan hanya pada Ramadan dan Syawal. 

"Kini Ramadan hanya berbaki beberapa hari lagi maka kita sepatutnya bermuhasabah diri sama ada kita benar-benar menghidupkan Islam yang sebenar iaitu bersederhana dalam setiap perkara, termasuk percakapan, perbelanjaan dan seluruh aspek kehidupan," katanya selepas melakukan Ziarah Kasih Ramadan di sini hari ini.

Marhamah berkata umat Islam juga disaran terus membawa semangat Ramadan ketika menyambut Syawal nanti dengan bersederhana dalam makan dan minum serta berbelanja meskipun pada bulan itu mereka sudah bebas untuk melakukannya. 

"Marilah kita bersederhana, bukan hanya ketika krisis tetapi pada setiap masa kerana setiap perbelanjaan kita akan dinilai dan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan