KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Wanita kini memainkan peranan semakin penting dalam ekonomi digital Malaysia, yang menyaksikan ramai dalam kalangan mereka mendefinisikan semula kepimpinan.
Dalam masa sama, golongan ini juga mengimbangi aspirasi kerjaya dengan tanggungjawab harian, daripada mengurus rumah tangga sehingga memimpin pasukan dalam persekitaran teknologi yang pantas berubah.
Perkara itu menjadi tumpuan utama pada forum bertajuk “Balance of Scale: Career Growth vs Sustainability”, yang diadakan baru-baru ini, apabila pemimpin wanita dalam sektor teknologi berkongsi pandangan mengenai kepimpinan, keusahawanan serta cara mengurus tekanan di tempat kerja.
Bagi pengasas bersama Obit Smart Chain, Jasmine Ng, peralihan daripada mengurus tugasan kepada membentuk hasil mencerminkan bagaimana aspek kepimpinan itu berkembang.
“Pada peringkat awal kerjaya, anda dinilai berdasarkan jumlah kerja yang dilakukan. Selepas mencapai tahap tertentu, anda tidak lagi dinilai berdasarkan kuantiti, sebaliknya kualiti keputusan yang dibuat,” katanya.
Ng berkata kepimpinan yang berkesan sering kali bermaksud berundur selangkah dan menyediakan ruang untuk pasukan melaksanakan fungsi mereka dengan lebih berkesan, dan lazimnya jurutera perisian serta pakar teknikal lazimnya lebih selesa menyelesaikan sendiri masalah teknikal.
“Mereka kurang gemar berkomunikasi dengan ketua atau membuat pembentangan, justeru ia bergantung kepada anda untuk menjelaskan kepada pihak berkepentingan mengenai apa yang dilakukan oleh pasukan supaya mereka dapat bekerja dengan tenang,” katanya.
Dalam ruang digital masa kini, beliau berkata keupayaan merapatkan jurang antara pasukan teknikal dan pembuat keputusan kini menjadi antara tanggungjawab utama pemimpin.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MADCash Sdn Bhd Dr Nuraizah Baharin menyifatkan peralihan itu sebagai peluang untuk mewujudkan tempat kerja yang mencerminkan nilai peribadi.
Beliau yang pernah berkhidmat di syarikat multinasional sebelum ini berkata organisasi berskala kecil sering mempunyai kelebihan untuk bergerak lebih pantas, di samping mengekalkan hala tuju yang lebih jelas.
“Di syarikat saya, apa yang kami tekankan ialah keterangkuman dan bagaimana memastikan tiada sesiapa yang tercicir. Jika sudah jemu dengan kehidupan korporat, anda sentiasa boleh beralih menjadi usahawan,” katanya yang meninggalkan kerjaya korporat untuk membina syarikat pemula.
Selain kepimpinan dan keusahawanan, perbincangan turut menyentuh isu lesu upaya (burnout), satu realiti yang semakin menjadi kelaziman dalam kalangan profesional, yang terpaksa mengimbangi antara kerjaya mencabar dengan tanggungjawab untuk keluarga.
Ketua Komunikasi Korporat U Mobile, Esther Chang berkata penyelesaiannya mungkin bukan terletak pada usaha mengejar keseimbangan sempurna, sebaliknya pada pembinaan sistem yang boleh dipercayai bagi memudahkan pengurusan tanggungjawab harian.
“Bagi memastikan tidak mengalami lesu upaya, kita perlu membina sistem sokongan di sekeliling kita. Wanita dalam teknologi secara semula jadi ialah pembina sistem kerana kita sudah pun membangunkan sistem sebagai penyelesaian dalam kehidupan harian,” katanya.
Beliau berkata perancangan hidangan, penyusunan jadual dan pengurusan tanggungjawab keluarga mungkin tidak kelihatan bersifat teknologi, namun secara logiknya asas dalam menyelesaikan masalah serta mewujudkan proses yang cekap prosesnya adalah hampir sama.
Sementara itu, Ketua Custom Solutions Petronas Digital Sdn Bhd Lisa Chan, yang bekerja rapat dengan usahawan wanita, mengimbau pertemuannya dengan wanita yang berdepan cabaran harian.
Keadaan ini memperlihatkan kepentingan sistem sokongan, sama ada bimbingan atau rangkaian komuniti, khususnya bagaimana untuk menyeimbangkan antara kerjaya dan kehidupan.
“Perkara paling penting dalam mengatasi lesu upaya dengan mempunyai seseorang yang memahami dan tidak menghakimi anda. Ada masa anda perlu bekerja keras untuk kemajuan kerjaya, dan ada masanya kita perlu memberikan tumpuan kepada keluarga,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencapai paras tertinggi sebanyak 56.6 peratus pada suku keempat 2025.
Dalam sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), wanita kini merangkumi kira-kira satu pertiga daripada tenaga kerja teknologi, mencerminkan peranan mereka yang semakin berkembang dalam ekonomi digital Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial