JENAYAH & MAHKAMAH

Seorang Lagi Suspek Kes Bunuh Southkey Ditahan Di Singapura

25/03/2026 05:04 PM

JOHOR BAHRU, 25 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan di kawasan Southkey di sini, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini enam individu.

Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata suspek terbaru itu seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun, ditahan pagi tadi di Singapura hasil kerjasama erat Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa republik berkenaan.

“Permohonan reman terhadap suspek tersebut akan dibuat esok,” katanya pada sidang media Majlis Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di IPK Johor di sini.

Beliau berkata sebelum ini lima individu telah ditahan, terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan. 

Suspek pertama yang tamat tempoh reman telah disambung hingga 31 Mac, manakala empat lagi suspek tamat reman esok dan permohonan lanjutan akan dibuat.

Hoo berkata motif pembunuhan masih dalam siasatan dan polis akan memaklumkan perkembangan lanjut selepas siasatan selesai.

Terdahulu, media melaporkan penahanan lima suspek berusia lingkungan 24 hingga 33 tahun yang dipercayai melarikan diri ke Singapura selepas diburu pihak polis berhubung kes pembunuhan berkenaan.

Suspek pertama ditahan pada 12.15 tengah malam 18 Mac lepas ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke republik berkenaan.

Susulan tangkapan itu, pada 6 petang keesokan harinya, empat lagi suspek berjaya ditahan dengan bantuan Polis Singapura selepas mereka dipercayai melarikan diri ke republik berkenaan.

Kejadian yang berlaku 5 pagi itu mengorbankan mangsa yang juga warga asing berusia 32 tahun selepas diserang menggunakan senjata tajam termasuk ditikam di leher oleh beberapa individu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan