POLITIK

MIC Kekal Bersama BN Buat Masa Ini, Nilai Sentimen Masyarakat India - Saravanan

25/03/2026 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- MIC membuat keputusan untuk mengekalkan status quo dan kekal bersama Barisan Nasional (BN) buat masa ini susulan perubahan kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata apabila keputusan untuk meneroka potensi kerjasama dengan PN dibuat semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) parti tahun lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Pengerusi PN.

Saravanan bagaimanapun berkata dengan PAS kini menerajui gabungan pembangkang susulan pelantikan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN bulan lepas, MIC perlu menilai sentimen masyarakat India sebelum membuat sebarang keputusan.

“Pada ketika itu, ahli kami membuat keputusan berdasarkan hubungan kerja jangka panjang MIC dengan Tan Sri Muhyiddin, sejak beliau menjadi Menteri Besar (Johor) hingga ke peranannya dalam kerajaan Persekutuan dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

“Sebagai parti yang mewakili masyarakat India, kami perlu menilai sentimen komuniti itu bagi menentukan sama ada mereka boleh menerima kepimpinan PAS sebagai satu pilihan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di sini hari ini.

Saravanan berkata walaupun MIC tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan PAS, perkara yang melibatkan masyarakat India, termasuk isu semasa berkaitan kuil perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata MIC kekal terbuka untuk berinteraksi dengan semua pihak sekiranya peluang itu muncul.

Beliau ketika mengulas dakwaan bahawa MIC telah memohon untuk menyertai PN berkata ia bukan permohonan, sebaliknya satu pertanyaan susulan jemputan yang dikemukakan oleh pemimpin PAS, termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kemudian kami ingin mengetahui jika MIC menyertai mereka, memandangkan kami adalah parti India, apakah pilihan yang ada kerana mereka sudah mempunyai sebuah parti India bersama mereka.

“Kami mahukan pilihan sama ada kami akan menjadi ahli baharu atau ahli tetap, yang sepatutnya dijawab oleh mereka dan bukannya terus menerima kami,” katanya.

Minggu lepas, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa MIC telah diterima secara rasmi sebagai parti komponen gabungan itu dalam mesyuarat pada Sabtu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan