AM

PETRA, NAHRIM Pacu Inovasi Saintifik Perkukuh Sekuriti Air Negara Menjelang 2040 - Fadillah

29/03/2026 11:03 AM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited memperkukuh sekuriti air negara melalui pemerkasaan teknologi dan inovasi berasaskan saintifik, selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pendekatan berasaskan penyelidikan dan pembuktian saintifik menjadi teras dalam memastikan pengurusan sumber air negara lebih mampan, berdaya tahan serta mampu menangani cabaran perubahan iklim dan peningkatan permintaan air.

Beliau berkata antara langkah strategik yang dilaksanakan ialah penubuhan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) menerusi Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sejak akhir tahun lepas bagi menjalankan siasatan forensik berasaskan data dan bukti saintifik untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir serta menilai keupayaan infrastruktur sedia ada.

"Sebagai permulaan, pasukan FORBiM Kuala Lumpur sedang menjalankan forensik berasaskan data dan bukti saintifik bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir, menilai keupayaan infrastruktur sedia ada, dan seterusnya membolehkan strategi tebatan banjir yang lebih inovatif termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih efisien," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, Fadillah berkata pengurusan banjir turut diperkukuh melalui penggunaan teknologi simpanan air lebihan seperti takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan semula jadi serta kolam takungan pelbagai fungsi.

"Beberapa produk tempatan juga sedang dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir kepada komuniti seperti ‘PETRAN (PETRA – NAHRIM) Tembok Penahan Banjir Automatik’, dan ‘PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih’," katanya.

Dalam usaha memastikan ketahanan bekalan air jangka panjang, Fadillah berkata PETRA dan NAHRIM turut meneroka sumber air alternatif termasuk menaiktaraf kolam takungan pelbagai fungsi, pemetaan sumber air tanah serta pembangunan teknologi penyahgaraman air laut khususnya untuk kegunaan komuniti di pulau terpencil dan kawasan terpinggir.

Beliau berkata penyelidikan turut dilaksanakan melalui Projek PETRAN-SIDS di lembangan Sungai Melaka, Pulau Langkawi yang menggabungkan aspek bekalan air, tebatan banjir dan pembangunan eko-pelancongan sebagai model pengurusan sumber air bersepadu.

"Pada masa ini, produk minuman air hujan terawat berbungkus NAHRIM iaitu PETRAN RAINDROPS dan CLOUDRAIN sudah bersedia ke pasaran melalui pengkomersialan," katanya.

Fadillah berkata NAHRIM memperkukuh pemantauan kualiti air melalui penggunaan teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi membolehkan pengesanan pencemaran dilakukan secara masa nyata.

Beliau berkata sistem Kecerdasan Buatan Ranking Penilaian Sungai bagi Keselamatan, Kesesuaian dan Kemampanan (AIR3S) yang dibangunkan secara tempatan membolehkan tindakan penguatkuasaan dan mitigasi diambil dengan lebih pantas sebelum pencemaran menjadi kritikal, sekali gus meningkatkan perlindungan terhadap sumber air negara. 

"Selain itu, beberapa produk yang turut dibangunkan oleh PETRA dan NAHRIM termasuklah ‘PETRAN Peranti Kualiti Air’, ‘PETRAN Penanda Rizab Air’, ‘PETRAN Produk Kawalan Sedimentasi Sungai Semulajadi’ dan ‘PETRAN Produk Perlindungan Tebing dan Dasar Sungai’," katanya.

Fadillah berkata NAHRIM turut melaksanakan penyelidikan forensik pantai bagi menilai keberkesanan sistem perlindungan terhadap hakisan pantai dan limpahan air laut, selain membangunkan inovasi tempatan bagi memperkukuh struktur perlindungan pesisir dan kestabilan garis pantai.

"Melalui Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) NAHRIM, aplikasi pemodelan fizikal dapat memberikan cadangan penyelesaian berdasarkan verifikasi dan reka bentuk yang optimum sebelum pembinaan sebenar bagi menjamin keselamatan struktur dan keberkesanan kos projek," katanya.

Seiring usaha memperkukuh ekosistem pengurusan air negara, beliau berkata PETRA telah mewujudkan Hab Air Kebangsaan yang akan mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber air bagi menjadikan Malaysia sebagai hab air serantau menjelang 2040.

"Dengan komitmen penuh NAHRIM sebagai agensi pelaksana, kerjasama ini menggabungkan kepakaran teknikal dan infrastruktur penyelidikan untuk mengatasi cabaran pengurusan air di Malaysia," katanya.

Fadillah berkata melalui komitmen bersama itu, PETRA dan NAHRIM membuktikan dedikasi dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam pengurusan dan penyelidikan sumber air serantau.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan