AM

Kemudahan Internet Dan Fasiliti NADI Boleh Digunakan Untuk BDR - Fahmi

05/04/2026 07:18 PM

JOHOR BAHRU, 5 April (Bernama) -- Kemudahan Internet dan fasiliti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) boleh dimanfaatkan untuk mereka yang terlibat dengan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pihaknya akan menyelaraskan agar kesemua NADI di bandar-bandar utama yang terlibat dengan pelaksanaan dasar berkenaan agar boleh digunakan oleh komuniti setempat dan penjawat awam yang terlibat dengan dasar itu.

“Memang pada waktu ini banyak NADI dimanfaatkan untuk tujuan mesyuarat dalam talian bagi badan dan agensi seperti Amanah Ikhtiar dan lain-lain, jadi saya tidak lihat ada apa-apa halangan untuk kita peluaskan penggunaan NADI bagi tujuan BDR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI negeri Johor, di sini hari ini.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar BDR mulai 15 April ini khusus untuk penjawat awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) selama tiga hari seminggu, antara lain bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat.

Bagaimanapun, Fahmi berkata pusat berkenaan akan beroperasi seperti biasa mengikut waktu pejabat.

Terdahulu Fahmi dalam ucapannya berkata NADI berupaya menjadi penguat dalam membantu mereka yang terlibat BDR melaksanakan pekerjaan dengan lancar.

Beliau berkata kerajaan menerusi MCMC membelanjakan lebih RM350 juta setahun bagi menggerakkan 1,098 NADI di seluruh negara.

Fahmi berkata Sarawak mencatatkan 156 NADI iaitu tertinggi, diikuti 132 di Sabah dan 101 di Johor.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terutama pengurus, penolong pengurus serta Pengerusi Panel Penasihat NADI supaya terus bekerjasama merancakkan pelbagai program bermanfaat untuk komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan