KOTA TINGGI, 5 April (Bernama) -- Ketirisan wang negara berjumlah RM15.5 bilion yang berjaya dikutip semula sebelum ini sedikit sebanyak membantu kerajaan bertahan dalam menampung subsidi untuk rakyat ketika seluruh dunia berdepan krisis tenaga global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguatkuasaan tegas oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membolehkan kerajaan menyelamatkan wang berkenaan untuk disalurkan semula kepada rakyat yang memerlukan.
“Dalam tempoh dua tahun lepas, kita kumpul wang yang hilang... jadi, rakyat termasuk di kampung dan Felda kena tahu macam mana boleh selamat, wang itu bocor dan hilang di tangan orang tertentu.
“... ini kita kena hentikan... sebab itu, kita kena guna kuasa politik dan sosial untuk fikir bagaimana nak bela nasib rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Bersama Peneroka Felda Semenchu di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar berkata kerajaan kini menanggung subsidi yang sangat besar mencecah RM6 bilion sebulan bagi menjayakan program subsidi petrol RON95 (BUDI95) serta pemberian subsidi diesel kepada petani, nelayan dan pengangkutan awam.
Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan terus bertambah sekiranya krisis tenaga global berlarutan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata pengurusan Felda perlu terus diperbaiki bagi memulih dan mengangkat semula martabat agensi berkenaan yang sebelum ini terkait dengan masalah beban hutang lama.
Beliau turut memberi jaminan bahawa agenda pembangunan Felda akan terus diperkasa termasuk aspek pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti peneroka.
Pada majlis itu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di Felda Semenchu merangkumi penambahbaikan kemudahan awam termasuk sekolah, masjid dan infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial