JENAYAH & MAHKAMAH

Koperal Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Tujuh Anggota Tentera

06/04/2026 03:07 PM

BENTONG, 6 April (Bernama) -- Seorang tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mencederakan anggota lain, bulan lepas. 

Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan. 

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, di stor senjata Kompeni C, Kem Askar Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Bentong kira-kira 8.30 pagi pada 30 Mac 2026.

Pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM10,000, selain syarat tambahan tertuduh tidak menghampiri dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai. 

Peguam Mohamed Hafiz Baharudin yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang bertugas sebagai penjaga stor hanya berpendapatan bersih RM1,800 sebulan. 

Majistret kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan membenarkan syarat tambahan berkenaan, selain menetapkan 18 Mei sebagai tarikh serahan dokumen. 

Bagi pertuduhan berikutnya, Sukry didakwa mencederakan Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, 21, Muhammad Syakirin Yaacob, 20, Muhammad Azman Shah Ismail, 22, Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19, Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19, dan Muhamad Danial Asraf Azizan, 22 pada hari dan tempat yang sama kira-kira 8.30 malam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga satu tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Muhammad Zamharir mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan yang sama, manakala peguam memohon jaminan dikurangkan antara RM1,800 hingga RM2,000. 

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh tidak menghampiri serta menganggu mangsa sehingga kes selesai selain menetapkan 18 Mei sebagai tarikh serahan dokumen. 

Pada 31 Mac lepas, polis menahan seorang tentera bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota lain termasuk menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah di sebuah kem tentera di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan