EKONOMI

Bursa Malaysia Klasifikasi Semula Dagangan Penama Kepada Segmen Runcit, Institusi

06/04/2026 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mengklasifikasikan semula data dagangan pelabur ekuiti berkuat kuasa hari ini, dengan dagangan penama pada masa ini dikategorikan di peringkat dagangan sama ada sebagai runcit atau institusi.

Menurut bursa, dagangan penama akan berpandukan maklumat pemilik benefisiari akhir yang diberikan oleh organisasi yang mengambil bahagian.

"Langkah ini bertujuan memberi gambaran yang jelas mengenai penyertaan pelabur dan aliran dana meliputi segmen runcit, institusi dan domestik," kata Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Pengelasan semula ini juga akan menambah baik tahap perincian statistik penyertaan pelabur dan aliran dana dengan memperkemas cara aktiviti pada tahap dagangan diklasifikasikan dan dikaitkan dengan segmen pelabur.

Pengelasan semula itu adalah kemas kini pertama bagi pengelasan pelabur sejak statistik berkenaan diperkenalkan pada 2008.

Sebelum ini, semua dagangan melalui penama diklasifikasikan sebagai pelabur institusi.

Pengelasan semula ini juga akan memberi gambaran yang lebih tepat mengenai aktiviti pelaburan domestik.

Selain itu, institusi milik asing yang diperbadankan di Malaysia akan dikelaskan berdasarkan sumber dana pelaburan pada setiap dagangan, dengan berpandukan kepada tempat diperbadankan.

Langkah ini adalah sejajar dengan data pegangan saham, yang direkodkan pada tarikh penyelesaian.

Sebelum ini, semua dagangan oleh institusi milik asing, tanpa mengambil kira tempat diperbadankan diklasifikasikan sebagai dagangan asing.

Langkah ini hanya digunakan untuk laporan data penyertaan pelabur pada tahap dagangan dan tidak mengubah data mengenai jumlah nilai dagangan harian selain tidak menjejaskan data pemilikan saham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan