EKONOMI

Advantech Meterai Tiga MoU Strategik Di ASEAN Connect Conference 2026

06/04/2026 07:48 PM

GEORGE TOWN, 6 April (Bernama) -- Advantech Co Ltd, peneraju global dalam kecerdasan buatan (AI) industri dan penyelesaian Edge memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) bagi mempercepat inovasi dan pelaksanaan penyelesaian AI di seluruh rantau ASEAN.

Dalam satu kenyataan, syarikat yang berpangkalan di Taiwan itu berkata pemeteraian itu berlangsung pada hari pembukaan Persidangan Advantech ASEAN Connect 2026 (APC 2026) yang bertemakan “Celebrating Success, Empowering Connections” di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), pada 2 April lepas. 

MoU berkenaan melibatkan kerjasama strategik dengan empat rakan industri utama iaitu Open RE Sdn Bhd (Malaysia), Get On Technology Co Ltd (Thailand), Qonnect (BIIC Co., Ltd.) (Thailand) dan Pacific Automation Pty Ltd. (Australia).

MoU pertama bersama Open RE akan menyokong pembangunan dan peluasan pasaran bagi penyelesaian sistem penyimpanan tenaga bateri di Malaysia.

Kerjasama ini menggabungkan platform perkakasan Edge AI dan internet pelbagai benda (IoT) Advantech dengan perisian pengoptimuman tenaga Open RE bagi menyokong pemantauan, prestasi serta pengurusan kitar hayat sistem bateri. 

Katanya penyelesaian ini dijangka membantu pengguna industri mengoptimumkan kos tenaga sambil menyokong agenda tenaga boleh baharu dan kelestarian negara.

MoU kedua bersama Get On Technology yang memberi tumpuan kepada pembangunan pasaran bersama di Thailand merangkumi penyelesaian router selular industri Advantech untuk segmen pasaran yang dipersetujui.

Kedua-dua pihak juga menyasarkan untuk mempercepat pelaksanaan penyelesaian serta memperkukuh amalan pendigitalan industri yang lebih konsisten dan berskala.

MoU ketiga bersama Qonnect (BIIC Co., Ltd.) dan Pacific Automation Pty Ltd pula akan menyokong pembangunan dan peluasan penyelesaian penyelenggaraan ramalan di Australia dan seluruh ASEAN. 

"Kerjasama ini menggabungkan platform perkakasan Advantech, kepakaran perisian dan diagnostik Qonnect serta keupayaan pembangunan perniagaan, kejuruteraan dan sokongan tempatan Pacific Automation bagi membantu pelanggan industri meningkatkan pemantauan peralatan selain perancangan penyelenggaraan.

“Ia sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan gangguan tidak dirancang," katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden Sektor Automasi Advantech Co Ltd Chingpo Lin berkata kerjasama ini mencerminkan anjakan daripada sekadar pembangunan teknologi kepada pelaksanaan penyelesaian yang praktikal, boleh skala dan sedia untuk pasaran komersial.

"MoU ini juga mencerminkan hala tuju strategik kami untuk bekerjasama lebih rapat dengan rakan industri dalam membangunkan penyelesaian mengikut piawaian yang membantu industri memanfaatkan AI bagi menghasilkan nilai operasi yang nyata," katanya. 

APC 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 2 hingga 3 April itu menghimpunkan eksekutif industri, pengguna akhir dan agensi kerajaan bagi meneroka peluang dalam bidang Edge AI dan IoT Perindustrian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan