DUNIA

Krisis Tenaga Jejas Pelancongan Thailand, Perjalanan Sempena Songkran Perlahan

07/04/2026 06:49 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 7 April (Bernama) --  Kenaikan harga bahan api mula memberikan tekanan kepada sektor pelancongan Thailand, permintaan perjalanan menjadi perlahan menjelang Pesta Songkran  dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri.

 Krisis tenaga global telah melonjakkan kos penerbangan dan pengangkutan, terutamanya perjalanan jarak dekat di dalam rantau ini, satu daripada pemacu utama pemulihan pelancongan Thailand.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan, Natreeya Taweewong berkata ketibaan pelancong menyusut pada minggu 30 Mac hingga 5 April, terutamanya daripada pasaran jarak dekat.

Beliau berkata ketibaan dari Malaysia mencatatkan penurunan disebabkan kebimbangan mengenai laporan kekurangan bahan api di stesen-stesen minyak di Thailand, yang menjejaskan keyakinan dan membawa kepada pembatalan tempahan bas-bas persiaran.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa Malaysia kekal sebagai pasaran sumber kedua terbesar dengan jumlah ketibaan terkumpul melebihi satu juta pada minggu ini.

“Jumlah ketibaan antarabangsa bagi minggu tersebut berjumlah 569,593, susut 60,509 atau 9.6 peratus berbanding minggu sebelumnya, dengan purata 81,370 pelawat sehari,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menambah ketibaan dari United Kingdom meningkat sebanyak 3.16 peratus berbanding minggu sebelumnya, manakala ketibaan dari Malaysia, Rusia, China dan India masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 39.59 peratus, 9.67 peratus, 6.23 peratus dan 4.38 peratus.

Thailand mencatatkan kira-kira 9.7 juta ketibaan antarabangsa terkumpul antara 1 Jan dan 5 April, menjana pendapatan kira-kira 474.4 bilion baht.

Sementara itu, pengusaha hotel dan perniagaan berkaitan pelancongan sedang bergelut dengan kos elektrik dan logistik yang lebih tinggi, yang menjejaskan margin keuntungan ketika sektor itu masih dalam fasa pemulihan daripada pandemik.

Persatuan Hotel Thai (THA) telah menggesa kerajaan untuk memperkenalkan langkah pelepasan kos secara langsung, termasuk pengurangan cukai seperti kadar cukai tanah yang lebih rendah, serta sokongan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Presidennya, Thienprasit Chaiyapatranun berkata perjalanan domestik semasa cuti Songkran dijangka terjejas oleh harga bahan api yang kekal tinggi.

“Pelancongan semasa Songkran tahun ini lebih perlahan berbanding tahun lepas. Kenaikan harga bahan api yang berterusan telah memburukkan lagi keadaan,” katanya sambil menambah bahawa tinjauan bagi suku kedua adalah “amat membimbangkan” kerana ia bertepatan dengan musim kurang kunjungan dan kenaikan kos.

Beliau berkata data tempahan menunjukkan Phuket berkemungkinan mencatatkan kadar penginapan paling kukuh, manakala Chiang Mai berdepan impak paling teruk akibat krisis jerebu PM2.5, yang memburukkan lagi kesan krisis tenaga.

“Berbanding kos lain yang meningkat, hotel tidak dapat menaikkan kadar bilik dalam keadaan semasa. Pengusaha mesti menumpukan kepada usaha mencapai pulangan modal sambil menawarkan perkhidmatan tambahan untuk merangsang permintaan,” katanya.

Songkran atau Tahun Baharu tradisional Thailand akan disambut dari 13 hingga 15 April, yang ditandai dengan perjumpaan keluarga, penghormatan kepada orang tua serta nenek moyang, dan upacara membersihkan patung Buddha.

Perayaan yang diiktiraf Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu juga merupakan acara kemuncak dalam kalendar pelancongan, menarik pelawat dari seluruh dunia untuk menyertai aktiviti percikan air yang meriah dan berwarna-warni bagi meraikan budaya serta warisan tempatan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan