EKONOMI

Konflik Asia Barat: Peringatan Kritikal Perkukuh Kedaulatan Tenaga Malaysia - Ahli Akademik

07/04/2026 11:36 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Peningkatan kos import petroleum dan gangguan logistik global ekoran konflik Asia Barat yang mengancam kadar inflasi serta kestabilan fiskal jangka panjang negara menjadi peringatan bagi Malaysia untuk memperkukuh kedaulatan tenaga melalui kepelbagaian sumber tempatan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata langkah tersebut sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pasaran bahan api fosil yang tidak menentu.

“Dengan menyepadukan hidrogen hijau, angin luar pantai, dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV), kita sedang merintis ekonomi biru yang berfungsi sebagai pelindung kepada kemandirian tenaga nasional,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata krisis semasa di Asia Barat bukan sekadar isu politik malah juga amaran teknikal buat Malaysia.

“Hidrogen hijau bukan lagi "teknologi masa depan" tetapi merupakan keperluan keselamatan nasional masa kini.  Langkah memanfaatkan kepakaran maritim dan potensi angin di pesisir pantai, kita mampu mengubah risiko geopolitik menjadi peluang untuk menerajui Ekonomi Biru di rantau ini,” katanya.

Mohd Zamri berkata tenaga hidrogen hijau bertindak sebagai pembawa tenaga berketumpatan tinggi serta memberikan bekalan stabil kepada grid nasional.

“Dengan kepadatan tenaga spesifik kira-kira 120 megajoules per kilogram (MJ/kg) (tiga kali ganda lebih tinggi daripada diesel), hidrogen hijau merupakan satu-satunya alternatif sifar emisi yang berdaya maju untuk kegunaan berat seperti kapal maritim dan pengangkutan awam,” katanya.

China telah mempercepat "Lembah Hidrogen Hijau" iaitu kluster industI yang menghasilkan hidrogen di lokasi menggunakan pangkalan tenaga boleh baharu khas, katanya.

Beliau berkata usaha itu sekali gus mengurangkan 70 peratus kebergantungan import minyak China dengan menggantikan bahan api fosil dengan molekul yang dihasilkan secara tempatan.

Mohd Zamri berkata tenaga hidrogen hijau pula boleh dihasilkan terus di laut, dengan menempatkan elektrolisis “Membran Pertukaran Proton” (PEM) dengan ladang angin luar pantai di luar pesisir pantai Kudat, Sabah dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang berpotensi tinggi.

“Ini menghapuskan keperluan sambungan grid daratan yang mahal dan membolehkan hidrogen diangkut melalui kapal tangki khas atau saluran paip dasar laut,” katanya.

Beliau berkata walaupun Malaysia sebagai pengeksport petroleum mungkin melihat keuntungan hasil jangka masa pendek apabila harga minyak melonjak melebihi US$130 setong namun, situasi itu merupakan “pedang bermata dua” kerana mendorong lonjakan kos import dan gangguan logistik.

Setakat Mac 2026, peningkatan konflik terbuka antara Amerika Syarikat dan Iran telah memberi kesan besar kepada ekonomi global, katanya.

“Ketidaktentuan di Selat Hormuz sebagai laluan utama bagi hampir 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, menjadi amaran buat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan