KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum mengenai mesej tular berhubung pelarasan harga gas petroleum cecair (LPG) oleh sebuah syarikat di Negeri Sembilan.
KPDN dalam perkongsian di Facebook memaklumkan pelarasan harga yang dipapar melibatkan silinder gas komersial dan bukan silinder gas domestik bersubsidi.
“Bagaimanapun, satu tindakan segera telah diambil bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan bersandarkan perundangan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” katanya.
Menurut perkongsian itu, sebarang kenaikan harga dalam senarai barang kawalan seperti LPG perlu dirujuk kepada pihak KPDN.
Terdahulu, tular notis pemakluman sebuah syarikat mengenai pelarasan harga LPG melibatkan C14C (14 kilogram komersial) iaitu kenaikan RM14 bagi setiap tong dan C50 (50 kilogram) dengan kenaikan RM50 setiap tong.
Pengguna dinasihat melaporkan sebarang maklumat tidak sahih atau memanjangkan aduan kepada KPDN menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my), pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial