PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Pertubuhan alam sekitar Greenpeace mengumumkan kapalnya, Arctic Sunrise, akan menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menyokong bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencabar kepungan Israel.
GSF dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sejarah panjang Greenpeace dalam usaha mempertahankan laut, mendepani ketidakadilan dan mengambil tindakan untuk mempertahankan nyawa menjadikan organisasi itu tambahan penting kepada misi tersebut.
"Peranan Arctic Sunrise adalah untuk menyediakan sokongan maritim teknikal dan operasi bagi memastikan transit kapal yang selamat merentasi Mediterranean sebelum flotila melengkapkan 200 batu nautika terakhir ke pantai Gaza," maklum kenyataan itu.
Menurut GSF, misi yang mengumpulkan lebih 70 bot dan 1,000 peserta dari 70 negara itu dijadualkan berlepas dari Barcelona ke Gaza pada 12 April.
"Misi ini akan membawa ratusan petugas perubatan, guru dan pembina eko, serta membawa kepakaran penting dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembinaan semula lestari untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza.
"Misi ini merupakan usaha maritim yang disertai orang awam terbesar untuk mencabar sekatan selama beberapa dekad yang dikenakan (Israel) ke atas Gaza dan membantu bencana kemanusiaan yang sedang dihadapi rakyat Palestin," katanya.
GSF berkata kapal penyelamat Open Arms, yang dikendalikan oleh NGO Sepanyol Proactiva Open Arms, juga pada bulan lepas mengumumkan akan menyertai armada tersebut ketika melintasi Laut Mediterranean dalam perjalanan ke Gaza pada 12 April.
Menurutnya, penyertaan Open Arms itu membawakan sokongan logistik tambahan yang diperlukan dalam misi tersebut.
"Kerjasama antara pertubuhan antarabangsa bebas ini mencerminkan solidariti penting dalam tindak balas global terhadap tindakan pengepungan dan genosid yang berterusan (ke atas Gaza)," maklum kenyataan itu.
Misi GSF yang merangkumi tindakan menerusi jalan darat dan laut yang diselaraskan itu bertujuan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan menuntut akses tanpa had ke Gaza bagi bantuan kemanusiaan dan sokongan pembinaan semula.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial