PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyambut baik peranan aktif Malaysia dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, khususnya melibatkan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat serta implikasi keselamatan di laluan strategik Selat Hormuz.
Yang Dipertuanya Datuk Dr Hasan Bahrom berkata YADIM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha berterusan Malaysia memainkan peranan sebagai perantara yang dipercayai di rantau Asia Barat.
“YADIM berpandangan, pendekatan diplomasi, dialog dan persefahaman yang digerakkan Malaysia mencerminkan komitmen negara ini sebagai suara sederhana yang konsisten memperjuangkan keamanan, keadilan dan hubungan antarabangsa yang harmoni,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa krisis semasa memerlukan bukan sahaja penyelesaian politik, tetapi juga pendekatan berteraskan nilai hikmah, taaruf dan islah, iaitu usaha membina kefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta mendamaikan pihak yang bertelagah.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip Islam yang menolak ekstremisme dan mengangkat perdamaian sebagai asas kesejahteraan sejagat,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Hasan berkata YADIM melihat usaha yang dilaksanakan kerajaan adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan kepercayaan dalam pembinaan masyarakat serta hubungan antarabangsa yang stabil.
“Negara ini berupaya memainkan peranan sebagai “Jambatan MADANI” yang menghubungkan pihak-pihak yang berkonflik melalui pendekatan berhemah dan inklusif.
“Kepercayaan negara-negara Teluk terhadap Malaysia dalam membantu membuka ruang dialog merupakan satu pengiktirafan terhadap kredibiliti negara dalam mengurus diplomasi berasaskan nilai, dan bukan semata-mata kepentingan geopolitik,” katanya.
Beliau berkata YADIM komited untuk terus memperkukuh naratif Islam sebagai agama rahmah yang menekankan perdamaian, dialog serta penyelesaian konflik secara bijaksana.
“Diharapkan segala usaha ini akan dipermudah dan membuahkan hasil yang positif demi keamanan sejagat serta kesejahteraan umat manusia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan yang Malaysia memainkan peranan sebagai orang tengah dengan menyampaikan permintaan beberapa negara Teluk kepada Iran bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Perdana Menteri dilapor berkata langkah itu diambil susulan hubungan baik Malaysia dengan kedua-dua pihak termasuk Iran serta negara-negara Arab.
-- BERNAMA=
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial