EKONOMI

Bantuan Kewangan US$50 Bilion Diperlukan Susulan Konflik Asia Barat Asak Ekonomi Global -- IMF

10/04/2026 02:04 AM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Ekonomi global kini diasak tekanan akibat krisis Asia Barat yang berlanjutan yang berpotensi memerlukan bantuan kewangan sehingga US$50 bilion (US$1 = RM3.98) bagi membantu negara-negara rentan menangani kejutannya, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva berkata perang itu juga telah mencetuskan kejutan bekalan yang ketara, bersifat global serta tidak sekata, sekali gus menjejaskan aliran tenaga, lonjakan harga dan tekanan ke atas rantaian bekalan di seluruh dunia.

Bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) terbukti telah terjejas secara meluas yang hanya menyumbang kepada peningkatan inflasi serta ketidaktentuan ekonomi di peringkat global.

Beliau turut merujuk Kompleks Ras Laffan di Qatar yang disifatkan sebagai “bukti amat penting” dari segi keberkesanan serta ketepatan pelaburan strategik sehingga mampu mengeluarkan 93 peratus LNG rantau Teluk dengan kira-kira 80 peratus daripadanya bagi destinasi Asia Pasifik -- rantau yang kini mengalami kekurangan bahan api dengan serius.

“Ras Laffan secara asasnya telah ditutup sejak 2 Mac lepas dengan kesan langsungnya pada 19 Mac dan berkemungkinan memerlukan tempoh selama tiga tahun hingga lima tahun untuk kembali pulih sepenuhnya,” katanya di Washington pada Khamis (waktu tempatan).

Georgieva berkata impak itu juga paling teruk dialami oleh kalangan negara pengimport minyak dan dengan kekangan kapasiti fiskal manakala negara pengeksport tenaga juga tidak terkecuali dari segi lonjakan kos serta gangguan ekonomi yang lebih meluas.

IMF turut menjangkakan pertumbuhan global akan lebih perlahan dalam semua senario walaupun situasi bertukar lebih baik berikutan kerosakan infrastruktur, gangguan bekalan serta keyakinan yang susut menjadi faktor utama merencatkan prospek berkaitan.

Bagi menangani krisis itu, IMF mengunjurkan permintaan bagi sokongan imbangan pembayaran berpotensi meningkat US$20 bilion hingga US$50 bilion dalam masa terdekat dengan anggaran lebih rendah akan bergantung kepada sejauh mana gencatan senjata itu mampu bertahan.

“Dua perkara yang perlu diutamakan iaitu (pertama) angka julat berkenaan mungkin jauh lebih tinggi sekiranya kebanyakan ekonomi pesat membangun tidak melaksanakan dasar yang baik, termasuk beberapa daripadanya yang besar, sejak beberapa dekad lalu.

“Kedua, kita semua mempunyai sumber mencukupi bagi menangani kejutan ini,” katanya.

Georgieva turut menasihatkan kalangan penggubal dasar untuk memberi tindak balas secara lebih berhati-hati, mengelak langkah atau pendekatan yang sebaliknya boleh memburukkan lagi keadaan global dan pada masa sama memberi tumpuan terhadap golongan penduduk mudah terjejas dan mengekalkan kestabilan harga.

IMF juga menekankan kepentingan asas-asas ekonomi yang kukuh serta disiplin dasar dan negara-negara dengan ruang fiskal lebih besar dan daya tahan ketara, berada dalam kedudukan lebih baik untuk mengurus kejutan berkenaan.

“Penggubal dasar boleh membantu dalam pelbagai cara dan pastinya, mereka juga perlu berhati-hati agar tidak memburukkan lagi keadaan.

“Sehubungan itu, saya menggesa semua negara agar menolak sebarang tindakan secara sendirian -- kawalan eksport, kawalan harga dan sebagainya yang boleh menjejaskan lagi keadaan global,” katanya.

Di sebalik krisis itu, Georgieva berkata masih wujud prospek lebih baik apabila ada negara yang bertindak meneliti semula hubungan dan melihat lebih banyak peluang baharu.

“Sebagai contoh, ASEAN. Perdagangan dalam ASEAN adalah kira-kira 20 peratus. Sebagai perbandingan, perdagangan dalam Kesatuan Eropah adalah 60 peratus. Oleh itu, mengapakah negara-negara ini tidak meningkatkan lagi dagangan antara satu sama lain?

“Inilah aspek yang perlu diteliti dan IMF mahu membantu mereka bukan sahaja untuk mewujudkan hubungan perdagangan lebih memberangsangkan, tetapi turut meneliti kekuatan secara kolektif yang boleh dimanfaatkan.

“Perkara sama juga membabitkan negara-negara Teluk yang sebenarnya sedang giat menyelaras usaha pembaharuan, meningkatkan kesalinghubungan sehinggalah perang ini menjejaskan mereka. Saya yakin, keadaan ini akan menjadi trend yang lebih lama di rantau Teluk itu.

“Bagi saya, sama juga seperti anda, kita mungkin perlu mewujudkan kelompok ‘optimis.’ Kita perlu menyedari bahawa dunia yang berubah ini adalah dunia sama dengan peluang yang sebelum ini tidak pernah difikirkan, kini semakin menyerlah dan bukan hanya cabaran. Ya, kita perlu menitikberatkan cabaran, tetapi pada masa sama jangan lepaskan peluang yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Mesyuarat Musim Bunga IMF yang akan datang, menumpukan usaha menyelaras reaksi atau tindakan bagi mengurangkan impak ekonomi serta menyokong usaha pemulihan dalam realiti ketidaktentuan pada masa ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan