KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Konflik yang berterusan di Asia Barat dijangka mempercepatkan integrasi ekonomi di seluruh Asia Timur, Asia Barat dan Asia Tenggara, dengan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menerima manfaat dalam rangka kerja ASEAN, kata seorang pakar.
Pengarah Program Dasar Luar, Majlis Hal Ehwal Global Asia Barat, Qatar, Adel Abdel Ghafar berkata krisis itu telah berubah melangkaui isu keselamatan dan semakin membentuk semula dinamik perdagangan global.
Beliau berkata perkembangannya bukan lagi terhad kepada ketegangan geopolitik semata-mata, tetapi turut mempengaruhi hubungan antara ekonomi, rantaian bekalan dan tingkah laku pasaran.
“(Dalam konteks ini), Turkiye dan Malaysia adalah seiring dalam mengutamakan kestabilan serantau, pendedahan kepada pasaran tenaga, laluan perkapalan dan turun naik ekonomi global,” katanya pada sesi bertajuk “Geopolitics in West Asia and how Malaysia-Turkiye interests overlap therein”, yang diadakan bersempena dengan Dialog KL-Ankara 2026 di sini, hari ini.
Adel berkata pelbagai negara sudah meningkatkan tindak balas mereka terhadap krisis itu berdasarkan pertimbangan pragmatik, memandangkan kesan ekonominya yang meluas.
Walaupun terdapat gangguan yang berterusan, beliau menambah bahawa situasi itu boleh mewujudkan peluang jangka panjang terutamanya melalui penyusunan semula laluan perdagangan dan struktur ekonomi.
“Kedudukan Malaysia di dalam ASEAN meletakkannya dalam situasi yang kukuh untuk menerima manfaat daripada perkembangan ini, di tengah-tengah hubungan ekonomi yang semakin meningkat antara blok serantau ini.
“Hubungan ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) telah benar-benar berkembang sejak beberapa tahun lepas,” katanya.
Beliau menambah bahawa dengan meningkatkan penglibatan antara ASEAN dan rakan kongsi luarnya, termasuk Turkiye, ia akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi merentas wilayah.
“Jika anda memperoleh keselamatan dan politik yang betul, maka ekonomi juga akan berkembang dengan baik,” tambahnya.
Sementara itu, dialog kali pertama itu bertujuan menetapkan sasaran dan piawaian bagi dialog terbuka serta tertutup mengenai hubungan Malaysia-Turkiye dan isu berkaitan Asia Barat.
Ia merupakan anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) Turkiye.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial