EKONOMI

Binastra, Eco-Shop, Kelington Antara Syarikat Pilihan Utama Pelaburan ESG 2026 - RHB IB

07/04/2026 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) memilih lima syarikat Malaysia iaitu Binastra Corporation Bhd, Eco-Shop Marketing Bhd, Kelington Group Bhd, LAC Med Bhd dan MR DIY Group (M) Bhd sebagai “Diamonds in the Rough” atau pilihan utama pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi 2026.

Dalam edisi ke-11 nota penyelidikan tematik tahunannya, bank pelaburan itu memaklumkan pemilihan saham berkenaan dibuat berdasarkan lima kriteria utama, iaitu pulangan atas ekuiti (ROE) 15 peratus atau lebih tinggi; nisbah hutang bersih kepada dana pemegang saham bagi 2026 di bawah 0.7 kali; margin yang berkembang pada 2026 berbanding 2025; dagangan pada penilaian di bawah purata industri masing-masing; serta skor ESG yang melebihi median negara.

Menurutnya, syarikat Malaysia yang tersenarai dalam edisi kali ini setanding dengan rakan serantau di ASEAN dalam satu aspek utama kerana memenuhi kesemua lima kriteria pemilihan tersebut.

“Proses pemilihan kami menggabungkan kedua-dua metodologi kuantitatif (saringan) dan kualitatif (analisis dari bawah ke atas, teori mozek serta pandangan pakar industri).

“Semua saham yang dipilih berada dalam lingkungan liputan kami, sekali gus memastikan pemahaman mendalam terhadap model perniagaan, kedudukan kewangan dan rekod prestasi pengurusan mereka,” menurutnya.

RHB IB mengunjurkan ROE Binastra kekal kukuh pada 43.8 peratus bagi tahun kewangan 2027 (TK2027), meningkat daripada 43.7 peratus pada TK2026.

“Ia mempunyai buku pesanan belum dibil sebanyak kira-kira RM7 bilion, dengan 30 hingga 35 peratus daripadanya dari Johor Bahru dan 10 hingga 15 peratus daripada projek pusat data, yang menyokong momentum pendapatan apabila projek di Johor yang diperoleh pada TK2026 memasuki fasa lebih tinggi dalam lengkung ‘S’ bermula TK2027,” menurut RHB IB.

Bank itu menjangkakan Binastra kekal dalam kedudukan tunai bersih pada TK2027, sekali gus memberi ruang untuk meneroka lebih banyak projek di luar sektor pusat data.

“Sementara itu, projek pusat data juga dijangka menyokong aliran tunai memandangkan tempoh pelaksanaannya lebih pantas. Kami menjangkakan margin bersih kekal sihat melebihi tujuh peratus dari TK2027 hingga TK2029, berbanding 8.9 peratus pada TK2026,” menurutnya.

Sementara itu, RHB IB mengunjurkan pulangan atas purata ekuiti (ROAE) Eco-Shop Marketing terus mencatat trend melebihi 26 peratus bagi TK2027 hingga TK2028.

“Perluasan rangkaian kedai yang dipercepat bagi memperkukuh penembusan pasaran dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan yang kukuh (kadar pertumbuhan tahunan kompaun tiga tahun: 19 peratus) dan ROAE pada masa hadapan.

“Selain itu, margin keuntungan juga dijangka mencatat pertumbuhan sihat hasil ekonomi skala dan kadar pertukaran asing yang memihak,” menurutnya.

Bank itu memaklumkan margin bersih Eco-Shop Marketing dijangka berkembang dan stabil pada paras sembilan peratus dalam unjuran TK2027 hingga TK2028 berbanding 7.7 peratus pada TK2025, berikutan skala operasi yang meningkat pada kadar lebih pantas untuk merebut peluang pasaran.

“Pelaburan dalam pusat pengedaran baharu serta kos input yang lebih memihak susulan pengukuhan ringgit dan peningkatan jumlah jualan dijangka memacu penambahbaikan margin,” menurutnya.

Bagi Kelington Group Bhd, RHB IB mengunjurkan ROE syarikat itu meningkat kepada 28.9 peratus dan 29.7 peratus masing-masing pada TK2026 dan TK2027, daripada 26.7 peratus pada TK2025, disokong pertumbuhan pendapatan dua digit serta pengisian semula buku pesanan yang kukuh menerusi akses pasaran baharu.

Sementara itu, RHB IB memaklumkan ROE LAC Med Bhd dijangka melebihi 21 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2028, walaupun ia mungkin menyederhana sedikit apabila syarikat mengembangkan segmen peralatan sebagai perkhidmatan yang memerlukan pengiktirafan aset dalam lembaran imbangan.

“Walaupun begitu, segmen ini terus menyumbang kepada peningkatan margin, dengan margin keuntungan kasar berpotensi mencecah 40 peratus.

“Margin bersih dijangka kekal stabil sekitar 11.4 peratus hingga 11.5 peratus dalam unjuran 2026 hingga 2028, berbanding 12.1 peratus pada 2025,” menurutnya.

Bank pelaburan itu turut mengunjurkan ROAE MR DIY Group (M) Bhd berkembang kepada 36 peratus hingga 39 peratus bagi 2026 hingga 2028, daripada 32 peratus pada TK2025, disokong prestasi pendapatan yang kukuh menerusi peluasan cawangan dan strategi meningkatkan pertumbuhan jualan kedai sedia ada.

“Pada masa sama, komitmen untuk mengekalkan nisbah pembayaran dividen melebihi 100 peratus dalam unjuran TK2026 akan membawa kepada struktur modal yang lebih cekap dan ROAE yang lebih tinggi,” menurutnya.

RHB IB memaklumkan margin bersih juga dijangka kekal mantap pada 13.2 peratus hingga 13.5 peratus bagi unjuran 2026 hingga 2028 berbanding 12.8 peratus pada 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan