SHAH ALAM, 9 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memperkenalkan sistem rekod pemantauan menggunakan imbasan kod QR di stesen minyak bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta membolehkan tindakan diambil secara masa nyata.
Pengarah KPDN Selangor Muhamad Hanif Asa'ari berkata pelaksanaan sistem itu memberi tumpuan kepada stesen minyak yang terlibat dalam Ops Tiris 4.0, melibatkan 809 stesen minyak aktif serta 79 syarikat pemborong diesel bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961.
Langkah itu susulan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan RON95) 2026 yang berkuat kuasa pada 1 April lepas.
“Pelekat kod QR akan ditampal di stesen minyak oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) semasa pemeriksaan dijalankan dan selepas pemeriksaan selesai, anggota akan merekodkan maklumat melalui imbasan kod QR manakala data itu akan dipantau secara masa nyata oleh pegawai di pejabat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Hanif berkata pada masa sama, KPDN Selangor turut memantau bekalan bahan api bagi memastikan ia mencukupi dan tidak menjejaskan keperluan pengguna.
Beliau berkata operasi di bawah Ops Tiris 4.0 melibatkan semua pejabat KPDN Selangor termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu serta diperkukuh melalui Kempen Kita Gempur.
“KPDN Selangor tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar atau gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan RON95) 2026 ini dengan hukuman yang mencegah seperti ditetapkan dalam perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN Selangor turut mengadakan sesi libat urus bersama syarikat bahan api bagi menangani isu semasa serta memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan di darat dan laut bagi membanteras aktiviti penyelewengan subsidi.
Beliau berkata kerjasama turut melibatkan Lembaga Lebuhraya Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di lebuh raya serta kawasan rehat dan rawat (R&R), khususnya melibatkan pergerakan kenderaan perdagangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial