KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) dengan kerjasama Amanah Warisan Bhd (Awaris) hari ini melancarkan perkhidmatan penulisan wasiat Awaris menerusi aplikasi BIMB Mobile, sekali gus menawarkan kemudahan perancangan legasi secara digital kepada pelanggan.
Bank itu memaklumkan inisiatif berkenaan merupakan satu langkah penting dalam usaha memodenkan perkhidmatan pengurusan kekayaan dengan mengintegrasikan khidmat nasihat serta perancangan legasi ke dalam platform digital.
Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam Datin Zaharah Abdul Muttalib berkata pelanggan hanya perlu memuat turun aplikasi BIMB Mobile dan mengikuti tiga langkah mudah untuk menyiapkan wasiat, yang boleh dilengkapkan dalam tempoh seawal lima minit.
Beliau berkata perkhidmatan itu bukan sahaja memudahkan proses penulisan wasiat, malah lebih menjimatkan masa dan kos berbanding kaedah konvensional.
“Sebelum ini, pelanggan yang ingin menulis wasiat perlu berurusan dengan beberapa agensi, termasuk peguam dan pihak berkaitan lain, namun dengan adanya platform digital ini prosesnya menjadi lebih mudah dan lancar.
“Bagi keperluan saksi, ia disediakan oleh pihak ketiga yang telah ditetapkan oleh rakan kongsi kami, Awaris, sekali gus mengurangkan keperluan untuk melalui proses tambahan seperti mendapatkan khidmat peguam,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran perkhidmatan itu sempena Hari Penghargaan Pelanggan Kekayaan Bank Islam, di sini hari ini.
Zaharah berkata Bank Islam turut menawarkan harga promosi khas RM300 bagi Pelan Platinum yang eksklusif melalui BIMB Mobile, selain 250 pelanggan pertama yang melengkapkan permohonan akan menerima baucar Touch ’n Go eWallet bernilai RM40.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Awaris, Prof Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata integrasi keupayaan penulisan wasiat Awaris ke dalam BIMB Mobile merupakan langkah transformasi penting dalam landskap perancangan harta digital di Malaysia.
“Kerjasama kami dengan Bank Islam didorong oleh visi bersama untuk menjadikan perancangan legasi patuh syariah lebih mudah diakses dan intuitif.
“Dengan membawa perkhidmatan penting ini ke dalam persekitaran digital, kami memperkasakan individu untuk merancang serta mengagihkan harta secara bertanggungjawab, yang merupakan tonggak penting kesejahteraan kewangan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial