AM

PM Anwar Tempelak Pihak Sebar Maklumat Tidak Tepat Berhubung Kenaikan Harga Minyak

09/04/2026 11:36 AM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan segelintir pihak termasuk pemimpin politik yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung kenaikan harga minyak susulan konflik Asia Barat.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak membantu rakyat dalam memahami keadaan sebenar berkaitan isu berkenaan

“Ada beberapa komentar orang politik ini dia cepat, tapi apa yang dia sebut separuh kebenaran yang akhirnya dianggap sebagai kebenaran mutlak.

“Maksudnya, fahaman itu sedikit, kemudian dia nak mutlakkan pandangan itu sebagai sesuatu yang pasti,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri menegaskan bahawa semua pihak mempunyai hak untuk memberi pandangan, namun ia mesti berasaskan fakta yang tepat dan bukan bersandarkan kepalsuan.

“Kita ada hak menegur, memberi pandangan balas. Tapi kita tidak berhak menghukum berdasarkan fakta yang salah atas dasar kepalsuan umpamanya,” kata Anwar.

Beliau turut menegur kecenderungan sesetengah pihak memutarbelitkan fakta termasuk dengan menyandarkannya kepada hujah agama.

“Itu fahaman kedangkalan ilmu yang ketara tapi diselubungi oleh fahaman agama dan al-Quran menyebabkan orang agak percaya tapi dia tidak membantu malah mengelirukan,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa rakyat sekali lagi “ditipu” kerajaan susulan kenaikan harga minyak di Semenanjung, sambil mempersoalkan mengapa langkah sama tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Menerusi kenyataan Minda Presiden PAS semalam, Abdul Hadi menegaskan tiada alasan kukuh untuk menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan negara yang terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan