AM

MPBN fokus kesiapsiagaan, Pencegahan Dan Pengurangan Risiko Bencana -- Ahmad Zahid

09/04/2026 02:35 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara (MPBN) mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk beralih daripada pendekatan tindak balas selepas bencana kepada memberi penekanan lebih besar terhadap kesiapsiagaan, pencegahan dan pengurangan risiko bencana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara memerlukan satu struktur yang membolehkan keputusan strategik dibuat dengan lebih pantas, penyelarasan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan di lapangan digerakkan tanpa kelompongan antara Persekutuan dengan negeri.

“Kita bukan sahaja mahu bertindak apabila musibah berlaku, tetapi memastikan negara lebih awal bersedia, risiko dapat diminimumkan, dan impaknya terhadap nyawa rakyat, harta benda serta ekonomi negara dapat dikurangkan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata penstrukturan baharu itu turut memperkukuh peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai agensi peneraju utama, termasuk dari segi kapasiti, kepakaran dan keupayaan operasi agar keseluruhan sistem tersebut dapat berfungsi secara efektif di semua peringkat. 

Semalam, kerajaan bersetuju menubuhkan MPBN dengan ahli tetapnya dianggotai oleh semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Sarawak.

Ahmad Zahid berkata usaha memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana di peringkat negeri juga penting memandangkan keupayaan bertindak balas secara pantas dan tersusun di peringkat negeri dan daerah merupakan antara penentu utama keberkesanan pengurusan bencana.

“Justeru, hubungan kerja yang lebih rapat, jelas dan berfokus antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri perlu terus diperkasa agar keseluruhan rantaian pengurusan bencana negara benar-benar bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan