SUKAN

MFL Rancang Pertemuan Meja Bulat Bersama Semua CEO Kelab Liga-M

09/04/2026 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyasarkan untuk mengadakan pertemuan meja bulat melibatkan semua ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab Liga Malaysia (Liga-M) bersama pemegang taruh berkaitan dalam masa terdekat.

CEO MFL Mohd Shazli Shaik Mohd berkata perancangan sebelum ini tertangguh susulan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Beliau bagaimanapun berkata MFL kekal terbuka terhadap cadangan dan pandangan yang dikemukakan oleh kelab-kelab bagi membincangkan hala tuju serta penyelesaian isu semasa liga.

“Sebenarnya, kami sudah mempunyai rancangan untuk berjumpa dengan CEO-CEO kelab ini. Namun, semua sedia maklum, beberapa perkara sedang berlaku menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan.

“…tetapi, apabila sudah ada permintaan dan pandangan daripada kelab, kami sangat terbuka. Insya-Allah, MFL akan mengadakan perjumpaan bersama semua CEO kelab ini, termasuk pemegang taruh dan ahli lembaga pengarah dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas majlis kerjasama antara Konami dan MFL di sini hari ini.

Mohd Shazli berkata pihaknya ketika ini sedang meneliti kesesuaian tarikh bagi memastikan kehadiran semua pihak berkepentingan dapat diselaraskan dengan baik.

Beliau menjangkakan pertemuan itu dapat direalisasikan sebelum berakhir April ini.

Sementara itu, Mohd Shazli ketika mengulas tanggapan bahawa cadangan mengadakan pertemuan meja bulat itu menggambarkan Liga-M berada dalam keadaan tenat menegaskan situasi sebenar tidak sedemikian.

Beliau berkata pelaksanaan Peraturan Kewangan Adil (FFP) yang kini memasuki tahun pertama masih memerlukan masa untuk menunjukkan impak menyeluruh terhadap kestabilan liga.

“La Liga (Liga Sepanyol) mengambil masa lima tahun untuk benar-benar menstabilkan liga mereka, sedangkan kita baru tahun pertama dan proses itu masih berjalan. Namun, kita sudah dapat melihat banyak perkembangan positif hasil pelaksanaan FFP ini.

“Jadi, bagi saya di MFL, kami tidak melihat keadaan ini sebagai tenat atau liga sedang menuju ke arah kemerosotan. Sebaliknya, pertemuan ini adalah platform yang baik untuk kami mendengar suara kelab dan seterusnya menambah baik perkara-perkara yang dibangkitkan,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa kelab menggesa supaya perbincangan serius diadakan, termasuk kemungkinan menganjurkan sesi meja bulat membabitkan semua pemegang taruh Liga-M, khususnya susulan situasi kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan kebanyakan pasukan.

Selangor FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Penang FC dan Sabah FC antara kelab yang menyokong cadangan mengadakan sesi meja bulat itu.

Antara isu berulang yang menjejaskan Liga-M termasuk kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain cabaran peningkatan kos operasi yang semakin tinggi, diburukkan lagi oleh kesan ketegangan berterusan di Asia Barat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan