JASIN, 9 April (Bernama) -- Polis mengenal pasti suspek dipercayai terbabit dalam kes menconteng tulisan kalimah Allah dan Bismillahirrahmanirrahim di sebuah tokong di Pantai Siring di sini.
Ketua Polis Daerah Jasin Superintendent Lee Robert berkata maklumat awal diterima daripada penduduk memaklumkan pernah terlihat seorang lelaki kurang siuman sedang menconteng tembok di tepi jalan dan tiang elektrik dengan tulisan kalimah Allah sebelum ini.
“Siasatan awal dengan penduduk sekitar mendapati mereka tidak mengetahui pemilik tokong dan status pemilikan tanah berkenaan. Semakan status pemilikan tanah juga akan dibuat melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jasin.
“Siasatan masih diteruskan bersama pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lee berkata kejadian berkenaan sebelum itu disedari seorang pemancing yang sedang mengail ikan di kawasan pesisir pantai, yang kemudiannya terus menghubungi Pondok Polis Serkam untuk tindakan lanjut kira-kira 11 malam tadi.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 295, Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Lee turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta sentiasa menghormati sensitiviti agama dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama.
“Pihak polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohd Hafiz Othman di talian 017-317 8434 atau 06-529 2222 (sambungan 323) atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial