JENAYAH & MAHKAMAH

ESSCOM Terus Perkukuh Keselamatan, Tangani Kegiatan Seludup Barang Bersubsidi

09/04/2026 08:51 PM

LAHAD DATU, 9 April (Bernama) -- Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus memperkukuh kawalan keselamatan bagi menangani kegiatan penyeludupan termasuk barangan bersubsidi di pantai timur Sabah melalui ‘smart enforcement’.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata perkara itu bukan hanya kerana perkembangan keselamatan semasa tetapi turut melihat kepada isu semasa konflik antarabangsa.

“Ketegangan geopolitik global memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga, bahan api, sekali gus mendorong peningkatan aktiviti penyeludupan. Ini menjadi cabaran besar kepada agensi penguatkuasa untuk memperketat kawalan sempadan.

“Operasi bersepadu seperti Ops Tiris diperkasa melalui kerjasama termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan sempena Hari Ulang Tahun ESSCOM ke-13, di sini, hari ini.

Victor berkata usaha pihaknya membanteras ketirisan dengan melindungi subsidi bagi rakyat itu juga dilihat sebagai menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, katanya, ESSCOM turut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan yang memberi kesan langsung kepada sosioekonomi tempatan seperti operasi membanteras pusat pelancongan haram misalnya di Semporna.

“Dalam operasi itu, 28 pendatang haram ditahan serta kompaun dikeluarkan dan rampasan bernilai RM680,000, 86 resort didapati beroperasi secara tidak sah, pelbagai pelanggaran undang-undang dikesan termasuk penggajian pekerja tanpa dokumen,” katanya.

Sementara itu, Victor berkata ESSCOM tidak boleh alpa meskipun tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan sejak lima tahun lepas.

“Landskap keselamatan kini lebih kompleks dan memerlukan kesiapsiagaan berterusan, pendekatan proaktif serta penguatkuasaan tanpa kompromi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan