Oleh Tuwaedaniya Meringing
PATTANI, 9 April (Bernama) -- Projek sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan ke Sungai Golok, Narathiwat, Thailand bakal memperkukuh sektor pengangkutan dan perdagangan dua hala kedua-dua negara.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, berkata projek itu kini dalam pertimbangan kerajaan Malaysia dijangka akan mengukuhkan rantaian bekalan serta memudahkan pergerakan barangan.
Namun, beliau berkata Thailand telah memulakan kajian kebolehlaksanaan dan penilaian impak alam sekitar sebagai sebahagian daripada peluasan projek landasan berkembar negara itu.
“Sekiranya direalisasikan, jajaran itu akan meningkatkan kecekapan pengangkutan kargo rentas sempadan, mengurangkan kos logistik serta mempercepat penghantaran barangan antara Malaysia, Thailand dan negara Indochina.
“Kereta api merupakan mod pengangkutan paling efisien untuk kargo pukal. Ia mampu meningkatkan kapasiti perdagangan serta memperkukuh peranan Malaysia dan Thailand dalam rantaian bekalan serantau,” katanya kepada Bernama.
Wan Zaidi berkata peningkatan kesalinghubungan rel akan membuka peluang baharu kepada perdagangan komoditi dan industri pemprosesan, selain memudahkan akses pasaran bagi perusahaan kecil dan sederhana di kawasan sempadan.
Dalam masa sama, beliau berkata kedudukan strategik wilayah selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia terus menyokong interaksi rentas sempadan melibatkan perdagangan, pelancongan, pendidikan dan hubungan sosial.
Wan Zaidi mengadakan lawatan rasmi ke Pattani, Yala dan Narathiwat dari 7 hingga 10 April, yang merupakan lawatan sulung beliau ke wilayah selatan Thailand sejak dilantik tahun lalu.
Sepanjang lawatan itu, beliau mengadakan pertemuan dengan gabenor ketiga-tiga wilayah serta agensi berkaitan pembangunan, keselamatan dan hal ehwal agama bagi memperkukuh kerjasama dua hala.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial