EKONOMI

Kenanga IB Jangka Momentum Dagangan Bursa Malaysia Kekal Positif Dalam Masa Terdekat

10/04/2026 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangka momentum dagangan di Bursa Malaysia Bhd kekal positif dalam tempoh terdekat sebelum beralih kepada sektor berasaskan pemulihan secara berperingkat berikutan purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih kukuh pada suku pertama 2026.

Bank pelaburan itu menyemak semula jangkaan ADV bagi tahun kewangan 2026 kepada RM3.15 bilion atau meningkat 11 peratus daripada RM2.85 bilion.

“Kami menjangka ADV sederhana secara berperingkat, dengan suku kedua 2026 sebanyak RM3.20 bilion, diikuti separuh kedua 2026 pada purata RM3.05 bilion apabila aktiviti dagangan kembali normal.

“Ini membawa kepada peningkatan lima peratus dalam unjuran pendapatan tahun kewangan 2026,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Kenanga IB, ADV suku pertama 2026 Bursa mengatasi anggaran sebanyak 11 peratus didorong oleh ketidaktentuan pasaran yang meningkat berikutan kebimbangan mengenai konflik geopolitik dan inflasi.

“Strategi dagangan bagi baki tahun 2026 akan bergantung pada pihak yang mendapat manfaat dan terjejas daripada harga minyak tidak menentu.

“Inflasi kekal menjadi kebimbangan utama, dengan prestasi bergantung pada keupayaan syarikat untuk memindahkan kenaikan kos kepada pengguna dalam harga komoditi yang turun naik,” katanya.

Kenanga IB memaklumkan penerima manfaat yang berpotensi termasuklah kaunter minyak dan gas, saham perladangan berikutan prospek penilaian yang baik dan peranan tenaga boleh baharu sebagai alternatif kepada minyak.

“Sementara itu, sektor yang terdedah kepada kos pengangkutan dan logistik yang tinggi, terutamanya kontraktor, mungkin berdepan tekanan pendapatan yang lebih besar,” katanya.

Bagi 2027, bank pelaburan itu menaikkan sedikit jangkaan ADV kepada RM3 bilion daripada RM2.90 bilion walaupun masih di bawah paras tahun kewangan 2026 berdasarkan ketegangan geopolitik yang mereda dan turun naik pasaran yang berkurangan.

“Risiko terhadap jangkaan kami termasuklah jumlah dagangan yang lebih rendah daripada jangkaan dalam pasaran sekuriti dan derivatif; perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan jumlah tawaran awam permulaan (IPO) yang berkurangan,” katanya.

Kenanga IB menaik taraf Bursa Malaysia kepada saranan mengatasi pasaran, dengan harga sasaran lebih tinggi sebanyak RM9.25 berikutan pelabur dijangka memilih profil pendapatan yang defensif dalam ketidaktentuan sektor yang lebih luas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan